Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor meningkatkan komitmen dalam memperkasakan kualiti perumahan rakyat apabila menyediakan peruntukan RM50 juta bagi melaksanakan kerja-kerja mengecat flat kos rendah, flat kos sederhana rendah swasta dan flat awam di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, inisiatif itu membabitkan 26 lokasi di bawah empat pihak berkuasa tempatan, melibatkan 170 blok perumahan dengan 11,693 unit kediaman.
“Hampir 46,772 penduduk, khususnya golongan B40, dijangka menerima manfaat daripada program yang bukan sekadar mencantikkan bangunan, malah meningkatkan keselesaan dan keselamatan komuniti.
“Kerja mengecat bukan hanya melibatkan aspek kosmetik, sebaliknya turut memberi nilai tambah kepada persekitaran kediaman, membina semangat kejiranan serta meningkatkan keyakinan penduduk terhadap usaha kerajaan menjaga kebajikan mereka,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke Pangsapuri Desa Muafakat, Larkin di sini hari ini.
Menurut Mohd. Jafni, projek berkenaan diselaraskan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) bersama Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).
Beliau berkata, bagi Pangsapuri Desa Muafakat, kerja-kerja mengecat bermula pada 15 Jun lalu dan dijadualkan siap pada 16 September depan dengan nilai projek melebihi RM3.56 juta.
“Sehingga kini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 34.06 peratus dan kita akan terus memastikan pelaksanaannya mengikut jadual serta memenuhi spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan,” katanya.
Tambah beliau, Menteri Besar turut mengingatkan semua agensi pelaksana dan kontraktor supaya memastikan projek berkenaan bukan sahaja disiapkan mengikut tempoh ditetapkan, malah menghasilkan mutu kerja terbaik yang mampu bertahan untuk tempoh panjang.
Dalam lawatan sama, rombongan turut meninjau kemajuan pembinaan Tabika Kemas Bangsa Johor selain meneliti isu mendapan cerun berhampiran kawasan parkir dan kerosakan jalan di dalam kawasan pangsapuri bagi tindakan susulan kerajaan negeri.
Mohd. Jafni berkata, kerajaan negeri akan terus mengamalkan pendekatan turun padang bagi memastikan setiap projek pembangunan yang diluluskan dipantau sehingga siap demi kesejahteraan rakyat selaras dengan agenda Maju Johor 2030.-KOSMO! ONLINE
The post RM50 juta peruntukan cat semula 170 blok perumahan di Johor appeared first on Kosmo Digital.
