Auto Added by WPeMatico
Aset Najib masih dibeku, tidak mahu orang ramai terbeban denda RM50 juta

![]()
PETALING JAYA – Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kini sedang mendapatkan nasihat dan meneliti pilihan bagi memenuhi syarat pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan sebagai sebahagian daripada pengampunan bersyarat terhadapnya.
Menurut kenyataan firma guaman Shafee & Co. yang mewakili Najib, kemampuan bekas Perdana Menteri itu untuk memenuhi syarat berkenaan turut dipengaruhi status aset, akaun bank dan hartanahnya yang sebahagiannya masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta prosiding penguatkuasaan kerajaan.
“Sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah beliau masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan prosiding penguatkuasaan oleh kerajaan dan pelupusannya pada masa ini bukan di bawah kawalan sepenuhnya beliau.
“Keupayaan beliau untuk memenuhi syarat itu sebahagiannya bergantung kepada perkara yang bukan berada dalam tangannya,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, Najib kini mendapatkan nasihat berhubung perkara berkenaan selain mempertimbangkan pilihan terbaik bagi melaksanakan syarat yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Najib merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Menurut kenyataan itu, Najib menerima keputusan berkenaan dengan penuh rendah hati selain menghargai pertimbangan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan terhadap petisyen pengampunannya.
Bagaimanapun, pemindahan Najib ke tahanan rumah bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
“Buat masa ini dan sehingga denda dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal di Penjara Kajang.
“Anak guam kami dan pasukan guaman kini sedang meneliti terma berkenaan serta implikasi praktikalnya,” katanya.
Najib turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta kepimpinan dan ahli UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat yang terus memberikan sokongan kepadanya.
Beliau juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tampil menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat pembayaran RM50 juta berkenaan.
Bagaimanapun, Najib tidak mahu parti, ahli dan penyokongnya atau orang ramai berasa terbeban atau terikat untuk membantu beliau.
“Beliau amat menghargai mereka yang atas kehendak sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing memilih untuk menawarkan sokongan serta bantuan.
“Keprihatinan mereka menjadi sumber kekuatan yang besar kepadanya pada ketika ini,” menurut kenyataan itu.
Najib turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan dan semua pihak yang terus mendoakannya.
Beliau pada masa sama meminta supaya privasi keluarganya dihormati.
Firma guaman Shafee & Co. memaklumkan pihaknya tidak akan memberikan sebarang komen lanjut berhubung perkara itu buat masa ini.- KOSMO! ONLINE.
The post Aset Najib masih dibeku, tidak mahu orang ramai terbeban denda RM50 juta appeared first on Kosmo Online.
