Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Jangan terkejut jika guru yang ditugaskan di sekolah pedalaman bukan sahaja perlu mengajar, malah turut ‘bertukar watak’ menjadi tukang paip, pendaki dan mekanik apabila berdepan pelbagai cabaran di luar bilik darjah.
Itulah antara realiti dikongsikan seorang guru pedalaman yang menggunakan akaun Threads @Ahlulfikir ketika mengimbau pengalaman pertama kali ditugaskan ke Sekolah Kebangsaan Sasandukon di Nabawan, Sabah pada 2019.
Menurutnya, perjalanan dari bandar Keningau ke sekolah berkenaan bermula kira-kira pukul 2 petang sebelum tiba sekitar pukul 2 pagi.
Antara pengalaman masih segar di ingatan guru tersebut adalah apabila perjalanan kali pertamanya ke kawasan pedalaman itu turut menyaksikan kenderaan dinaiki tersangkut di tengah hutan belantara.
Namun, katanya cabaran tidak berakhir selepas tiba di sekolah apabila guru di kawasan pedalaman perlu bijak menangani sendiri masalah kemudahan asas termasuk paip tersumbat.
“Selain jadi cikgu. Tukang paip pun kena jadi. Wah seronok kan? Kalau paip sumbat, kena mendaki dua kilometer untuk bersih takungan dan sambung paip,” katanya.
Walaupun jumlah murid tidak ramai, katanya suasana di sekolah berkenaan tetap meriah dan menjadi pengalaman tersendiri buat warga pendidik.
“Murid tak ramai tapi meriah,” katanya.
Hantaran guru tersebut pada masa sama bertujuan mengalu-alukan kehadiran guru baharu yang bakal mendaftar diri di sekolah pedalaman kategori satu, dua atau tiga.
“Apa pun tahniah dan selamat datang kepada cikgu-cikgu yang dah dapat penempatan terutama sekolah di pedalaman satu, dua atau tiga.
“Pengalaman yang bakal cikgu lalui sangat berharga,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dalam satu hebahan di laman web memaklumkan, calon Graduan Pendidikan Pasaran Terbuka Ke Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 Bagi Pengambilan Tahun 2026 yang telah ditemu duga pada 12 Mei hingga 2 Julai 2026 lalu boleh menyemak keputusan masing-masing di pautan rasmi SPP. – KOSMO! ONLINE
The post Bukan setakat mengajar, guru pedalaman jadi tukang paip, pendaki appeared first on Kosmo Online.
