Auto Added by WPeMatico

![]()
IPOH – Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual secara fizikal terhadap anak tirinya yang berusia 12 tahun, dalam kejadian antara tahun 2023 hingga 2025.
Tertuduh berusia 41 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa, sejak kanak-kanak perempuan itu berusia 10 tahun yang berada di bawah jagaan dan mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai ayah tiri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Seri Iskandar dalam daerah Perak Tengah pada beberapa tarikh dalam Mei 2023, Mei 2024 dan April 2025.
Enam kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 14(a) manakala satu lagi mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan bagi kesalahan berkenaan, selain hukuman tambahan sekiranya mahkamah mendapati wujud hubungan amanah dengan mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Aliff Aiman Rusli.
Terdahulu, Nor Arfahanim menawarkan jaminan RM30,000 bersama syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu atau menghubungi mangsa sepanjang kes berjalan.
Bagaimanapun, Aliff Aiman memohon jaminan sebanyak RM5,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan minor strok, selain menanggung ibu berusia 70 tahun dan isteri yang tidak bekerja.
Beliau berkata, tertuduh yang kini menetap bersama ibunya tidak mempunyai rekod lampau dan telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan menyerah diri bagi membantu siasatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin tempatan yang bukan daripada kalangan ahli keluarga.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis pada setiap awal bulan sehingga kes selesai serta dilarang mendekati, menghubungi atau mengganggu mangsa, ahli keluarga mangsa dan saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 September depan untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE
The post Juruteknik tidak mengaku amang seksual anak tiri appeared first on Kosmo Digital.
