Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR: Kedudukan DAP dalam kerajaan akan ditentukan oleh perwakilan dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada 16 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, satu usul akan dikemukakan kepada perwakilan bagi menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam kerajaan atau sebaliknya.
Katanya, keputusan tersebut tidak akan dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), sebaliknya diserahkan kepada kebijaksanaan perwakilan yang layak mengundi.
“CEC memutuskan supaya satu usul dikemukakan dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada 16 Ogos untuk menentukan sama ada DAP kekal dalam kerajaan bagi tempoh baki penggal Parlimen atau sebaliknya.
“Keputusan itu bukan dibuat oleh CEC. Kita menyerahkannya kepada kebijaksanaan para perwakilan untuk membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat CEC di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, di sini hari ini.
Anthony berkata, pengundian akan dijalankan secara undi sulit bagi memastikan setiap perwakilan bebas membuat keputusan tanpa dipengaruhi pendirian mana-mana pemimpin parti.
Menurutnya, terdapat pelbagai pandangan dalam kalangan pemimpin DAP berhubung kedudukan parti dalam kerajaan, namun pandangan tersebut bersifat peribadi.
“Kita mengamalkan sistem demokrasi dalaman. Walaupun saya Setiausaha Agung, keputusan DAP bukan ditentukan oleh saya.
“Perwakilan akan diberikan kertas undi untuk menentukan sama ada parti kekal dalam kerajaan atau tidak. Ia akan menjadi keputusan kolektif parti,” katanya.
Beliau berkata, CEC tidak mahu menetapkan sebarang pendirian awal kerana tindakan itu dikhuatiri boleh mempengaruhi keputusan para perwakilan.
Katanya, keputusan pada 16 Ogos itu akan memberikan hala tuju yang lebih jelas mengenai langkah DAP selepas ini, termasuk kedudukan parti dalam kerajaan dan hubungan dengan gabungan sedia ada.
“Kita akan akur dengan keputusan perwakilan. Selepas 16 Ogos, akan menjadi lebih jelas bagaimana parti akan bergerak ke hadapan,” katanya.-UTUSAN
The post DAP kekal atau tidak dalam kerajaan diketahui 16 Ogos appeared first on Utusan Malaysia.
