Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 58 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian menerusi Op Soga XI yang dilancarkan secara bersepadu di seluruh negara sempena Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi yang bermula pada 11 Jun lalu hingga 19 Julai depan itu dilaksanakan bagi membanteras aktiviti pertaruhan haram yang dijangka meningkat sepanjang kejohanan bola sepak berprestij tersebut.
Menurut beliau, operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memantau aktiviti promosi serta pengiklanan perjudian menerusi laman sesawang dan platform media sosial.
“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 52 serbuan telah dijalankan di seluruh negara dengan seramai 58 suspek terdiri daripada 54 lelaki dan empat wanita berjaya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.
“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM25,684.65 dan nilai pertaruhan dianggarkan berjumlah RM488,582.47,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengesan sebanyak 42 platform yang digunakan bagi menjalankan aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi perjudian, melibatkan laman web, aplikasi serta media sosial.
Katanya, tindakan menyekat laman sesawang dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan kerjasama MCMC bagi mengekang penyebaran aktiviti perjudian dalam talian.
“Kesemua suspek telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” ujarnya.
Kumar berkata, PDRM akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan selain memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perjudian haram di negara ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Op Soga XI: 58 kaki judi, RM488,582 nilai pertaruhan tumpas appeared first on Kosmo Digital.
