Auto Added by WPeMatico

![]()
LONDON: Chelsea meneruskan usaha memperkukuhkan skuad menjelang musim baharu apabila mengesahkan pembelian pemain Argentina, Valentin Barco daripada kelab Ligue 1, Strasbourg dengan kontrak jangka panjang sehingga 2033.
The Blues bagaimanapun tidak mendedahkan nilai perpindahan pemain tengah berusia 22 tahun tersebut yang menjadi antara prospek paling menarik dari Amerika Selatan ketika ini.
Dalam kenyataan rasmi, Chelsea memaklumkan Barco akan segera menyertai pengurus, Xabi Alonso dan rakan sepasukannya bagi baki kem latihan pramusim sebagai persiapan menghadapi kempen 2026/27.
“Chelsea FC dengan sukacitanya mengesahkan pembelian pemain antarabangsa Argentina, Valentin Barco, daripada RC Strasbourg.
“Pemain tengah serba boleh itu menandatangani kontrak sehingga 2033 dan akan menyertai pengurus, Xabi Alonso, serta rakan sepasukannya pada baki kem latihan pramusim,” menurut kenyataan kelab itu.
Barco tiba di Stamford Bridge selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan bersama Strasbourg musim lalu apabila meledak tiga gol dan mencipta 11 bantuan jaringan menerusi 58 penampilan dalam semua pertandingan.
Aksinya konsisten itu, turut membolehkannya menembusi skuad kebangsaan Argentina dengan mengumpul lima penampilan antarabangsa dan menjaringkan dua gol setakat ini.
Pemain itu juga merupakan sebahagian daripada skuad Argentina yang muncul naib juara selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia bulan lalu.
Karier profesional Barco bermula bersama gergasi Argentina, Boca Juniors sebelum menyertai Brighton & Hove Albion pada 2024.
Selepas itu, dia dipinjamkan ke Strasbourg sebelum perpindahan tersebut dijadikan kekal oleh kelab Perancis berkenaan.
Kehadiran Barco menambah lagi senarai pemain baharu yang dibawa masuk Chelsea musim ini termasuk Morgan Rogers dari Aston Villa, Maxence Lacroix dari Crystal Palace, Marco Palestra dari Atalanta dan penyerang, Danny Welbeck dari Brighton.
Chelsea yang kini dibimbing Alonso berharap rombakan besar-besaran itu mampu mengubah nasib mereka selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-10 musim lalu. – AFP/UTUSAN
The post Chelsea ikat Barco hingga 2033 appeared first on Utusan Malaysia.

