Auto Added by WPeMatico

![]()
PARIS: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mengumumkan pembatalan cadangan kontroversi untuk menjual sebahagian daripada empayar perniagaannya kepada pelabur luar selepas menerima tentangan hebat daripada ahli gabungan.
Tindakan itu diambil susulan rancangan awal FIFA untuk mengumpul dana sehingga AS$ 4.2 bilion (RM17.2 bilion) dengan menjual kira-kira 20 peratus pegangan dalam unit baharu yang akan mengendalikan kejohanan utama termasuk Piala Dunia. Unit tersebut dinilai keseluruhan AS$20 bilion (RM82 bilion).
Cadangan yang mula didedahkan pada Selasa lalu itu mencetuskan kemarahan badan induk bola sepak Eropah, UEFA yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan menjual ‘jiwa’ sukan bola sepak selain mengancam untuk memulaukan sebarang kejohanan berkaitan.
Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam satu kenyataan rasmi berkata, keputusan untuk tidak meneruskan projek itu dibuat selepas mengambil kira semua pandangan bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli.
“Selepas mendengar dengan teliti semua pandangan, jelas sekali projek ini telah mewujudkan perpecahan yang tidak lagi sejajar dengan objektif asal yang ditetapkan.
“Matlamat kami sentiasa dan akan kekal untuk menyatukan serta menambah baik (bola sepak). Oleh itu, cadangan ini tidak akan diteruskan,” katanya.
Krisis dalaman FIFA itu turut menyaksikan penasihat kanan Infantino, Carlos Cordeiro meletak jawatan serta-merta kelmarin dengan menyifatkan rancangan tersebut sebagai ‘perjanjian buruk buat bola sepak’.
Lebih mengejutkan, Ketua Pegawai Operasi FIFA, Kevin Lamour mendakwa kakitangan organisasi itu telah ‘diperdaya’ oleh Infantino dan menyifatkan cadangan berkenaan sebagai projek peribadi presiden semata-mata. – AGENSI/UTUSAN
The post FIFA batal jual empayar perniagaan appeared first on Utusan Malaysia.
