Auto Added by WPeMatico

![]()
LONDON: Eddie Howe mengesahkan beliau melepaskan jawatan sebagai pengurus Newcastle United semalam bagi memberi ruang kepada dirinya untuk berehat dan memulihkan semula tenaga selepas mengharungi penghujung yang mencabar sepanjang lima tahun membimbing kelab itu.
Howe yang mengubah wajah Newcastle daripada pasukan yang bergelut kepada pencabar berwibawa berjaya menghadiahkan trofi utama pertama dalam tempoh 56 tahun apabila menjulang Piala Liga pada 2025.
Bekas pengendali Bournemouth itu turut membawa The Magpies layak ke saingan Liga Juara-Juara UEFA pada 2023 dan 2025.
Bagaimanapun, Newcastle mengharungi musim lalu dengan prestasi hambar apabila sekadar menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-12 selain berdepan jendela perpindahan pemain yang sukar.
Howe turut mengendalikan pasukan ketika tewas 1-4 kepada Bristol City dalam aksi persahabatan pramusim sebelum laporan mengenai pemergiannya mula tersebar beberapa jam kemudian.
Newcastle dalam satu kenyataan memaklumkan pihak pengurusan menerima keputusan Howe untuk berundur sambil merakamkan penghargaan atas sumbangan luar biasa beliau kepada kelab.
“Hampir lima tahun saya mencurahkan seluruh tenaga, hati dan jiwa kepada kelab ini. Demi kepentingan diri saya dan juga kelab, saya merasakan sudah tiba masanya untuk berundur, berehat dan memulihkan semula tenaga,” katanya.
Jurulatih Al-Ahli dari Arab Saudi, Matthias Jaissle, kini disebut-sebut sebagai calon utama menggantikan Howe di St James’ Park. – AFP/UTUSAN
The post Howe tinggalkan Newcastle, mahu berehat appeared first on Utusan Malaysia.
