Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Seorang wanita dicekup bagi membantu siasatan berhubung kes menyamar sebagai pegawai polis dengan memperdaya seorang pesara guru untuk menyerahkan loket emas milik isterinya bernilai RM15,000 dan dua keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bachok pada minggu lalu.
Suspek yang berusia 31 tahun itu ditahan pada 13 September lalu di sekitar daerah ini selepas polis menerima maklumat menerusi hasil risikan berkenaan kes tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 75 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 12 September lalu.
Katanya, mangsa dimaklumkan mempunyai saman mahkamah berjumlah RM25,000 selain terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan sindiket dadah yang boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun.
“Panggilan itu disambung kepada seorang lagi individu yang mengaku pegawai kanan polis Bukit Aman melalui WhatsApp dan mengarakan mangsa merahsiakan perkara tersebut.
“Warga emas itu kemudian diarah untuk menyerahkan dua kad ATM, rantai leher bersama loket milik isterinya dengan alasan pegawai penyiasat akan datang ke rumah.
“Seorang wanita datang ke rumah mangsa dengan menaiki sebuah kereta kira-kira pukul 5 petang pada hari tersebut dan menerima kesemua barangan itu sebelum beredar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan mendapati, emas tersebut dijual di sebuah kedai emas di daerah ini pada hari yang sama manakala sebahagian wang hasil jualan dimasukkan ke akaun pihak ketiga.
Katanya, berdasarkan keterangan awal, suspek menerima arahan melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali untuk mengambil barangan milik mangsa.
“Warga emas itu bagaimanapun sempat menghubungi pihak bank untuk menyekat kad ATM dan tiada sebarang transaksi dikesan.
“Polis merampas dua keping kad ATM milik mangsa, sebuah kereta jenis Perodua Axia, resit bayaran masuk bank dan resit kedai emas. Rantai emas itu berjaya diperoleh semula daripada premis tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita dicekup terlibat ‘scam’ pesara guru serah loket isteri, kad ATM appeared first on Kosmo Online.
