Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Seorang peniaga dalam talian didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas pertuduhan berlagak seperti perempuan dengan memakai seluar dalam dan selipar wanita di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) di sini pada November lalu.
Tertuduh, Khairul Izwan Sidi Ahmad, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Firdaus W. Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berlagak seperti perempuan iaitu berpakaian baju-T, baju slim fit, seluar dalam wanita dan berselipar perempuan.
Perbuatan itu dilakukan di Bahagian Penguatkuasaan Agama, Jaheaik di sini kira-kira pukul 2.35 petang pada 9 November 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Kelantan, Syafika Mat Husin dibantu Ezarihan Mat manakala tertuduh diwakili peguam syarie, Muhammad Syarafi Mohd. Salleh dan Mohd. Faqqhurudin Mohd. Nasir.
Terdahulu, Syafika mencadangkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin.
Muhammad Syarafi dalam rayuannya memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM500 dengan mengambil kira faktor anak guamnya merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam selain merupakan antara penyumbang terbesar untuk membayar komitmen keluarga.
“Tertuduh merupakan seorang OKU dan kami mempunyai maklumat mengenai status tersebut selain perlu menanggung bil elektrik kediaman keluarga sebanyak lebih RM400 sekali gus menjadi komitmen bulanannya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Muhammad Syarafi ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah di sini berkata, anak guamnya membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE
The post Peniaga didakwa berlagak, berpakaian wanita di pejabat agama appeared first on Kosmo Digital.
