Auto Added by WPeMatico

PUCHONG – Sanggup terjun parit dan bermandi lumpur bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen (JIM).
Itu antara cubaan ssegelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sekitar Taman Perindustrian Puchong Utama, Kampung Sri Aman Tengah dan Kampung Sri Langkas, di sini, hari ini.
Wartawan Kosmo! yang menyertai serbuan kira-kira pukul 1 tengah hari itu mendapati, tindakan tersebut berjaya digagalkan anggota JIM yang turut terjun ke dalam parit bagi menahan individu tersebut.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamarudin berkata, seramai 21 PATI ditahan menerusi serbuan membabitkan empat premis berasingan, di sini.
“Dalam serbuan pertama sekitar Kampung Sri Langkas, seramai lima wanita warga Indonesia ditahan sementara lapan lelaki warga Pakistan dicekup di premis kedua membabitkan sebuah kedai makan.
“Enam lelaki warga Pakistan kemudian ditahan di sebuah restoran di Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Tengah, di sini,” katanya selepas operasi selesai dijalankan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, serbuan terakhir membabitkan sebuah bengkel kereta di Jalan Utama 2/20, Taman Perindustrian Puchong Utama yang membawa kepada penahanan dua lelakk warga Myanmar.
Katanya, kesemua individu ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor, Shah Alam bagi proses semakan dan pengesahan dokumen berkaitan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 (salah guna pas),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Imigresen terjun parit, mandi lumpur tangkap PATI appeared first on Kosmo Digital.