Auto Added by WPeMatico

![]()
ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 59 peratus atau 1,342 daripada 2,271 perjawatan yang diluluskan bagi petugas kesihatan di Hospital Pasir Gudang (HPG) masih belum diisi sekaligus menjadi kekangan utama untuk pengoperasian penuh.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon memaklumkan daripada keseluruhan 2,271 perjawatan yang diluluskan, hanya 929 jawatan telah diisi, bersamaan kira-kira 41 peratus setakat ini.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan tidak semua fasiliti di hospital berkenaan dapat digunakan sepenuhnya walaupun ia telah mula beroperasi dan menerima pesakit awam.
“Ketika ini, HPG telah pun beroperasi dengan 14 perkhidmatan klinikal termasuk Jabatan Kecemasan, pediatrik dan ortopedik. Namun, kekangan utama kita adalah dari segi tenaga kerja.
“Daripada 304 katil yang tersedia, hanya 157 katil sahaja yang boleh digunakan melibatkan sembilan wad yang aktif, berbanding 14 wad keseluruhan,”katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan hospital berkenaan susulan titah keprihatinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sebelum ini menekankan keperluan mempercepatkan pengoperasian HPG.
Mengulas lanjut, Ling berkata, pihak kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang giat berusaha menambah penempatan petugas kesihatan termasuk pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan sokongan.
“Usaha sedang dipergiat untuk menambah tenaga kerja secara berperingkat. Sasaran kita adalah menjelang September tahun ini, semua katil dapat dioperasikan sepenuhnya sekiranya kekosongan jawatan dapat diisi.
“Walaupun belum mencapai kapasiti maksimum, operasi asas hospital kini berjalan lancar dan pesakit sudah menerima rawatan seperti biasa,” jelasnya.
Tambah beliau, kewujudan HPG turut membantu mengurangkan beban pesakit di hospital lain seperti Hospital Sultan Ismail, khususnya di Jabatan Kecemasan apabila sebahagian kes kini boleh dialihkan ke hospital baharu itu.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail ketika merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini, Khamis lalu menggesa supaya Kerajaan Persekutuan menyelesaikan segera isu perjawatan dan kelengkapan bagi memastikan HPG dapat beroperasi sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE
The post 59 peratus perjawatan di Hospital Pasir Gudang belum diisi appeared first on Kosmo Digital.
