Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Taktik sebuah premis perjudian yang hanya membuka pintu kepada pelanggan tetap atau individu dikenali terbongkar selepas digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi sekitar Pandan Jaya, hari ini.
Operasi Khas bermula pukul 12.01 tengah malam semalam itu melibatkan serbuan di empat lokasi selepas risikan dilakukan selama sebulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 15 warga asing berusia antara 21 hingga 38 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, mereka terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh dan seorang wanita Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis serta juruwang.
“Turut ditahan tiga lelaki Myanmar, dua lelaki Indonesia, seorang lelaki Bangladesh, seorang lelaki India serta enam wanita Indonesia.
“Semakan awal mendapati kesemua warga asing berkenaan dipercayai menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa atau tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut menyita tujuh pasport Indonesia, 31 tablet, 15 telefon bimbit, buku jadual pekerja, salinan perjanjian sewaan premis serta wang tunai RM1,674 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.
Siasatan mendapati kegiatan perjudian itu dijalankan secara tertutup dengan kawalan keselamatan ketat dan premis hanya dibuka kepada pelanggan tetap atau individu dikenali.
Premis berkenaan turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan pelanggan dan mengesan kehadiran pihak berkuasa, selain pintu masuk menggunakan besi bermagnet berkunci yang dikawal dari dalam.
Kesemua warga asing terbabit dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala lima lelaki tempatan diberikan notis untuk hadir bagi membantu siasatan.
JIM menegaskan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan dan tegas bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang negara. – KOSMO! ONLINE
The post Premis judi ‘eksklusif’ warga asing tumpas, 15 dicekup appeared first on Kosmo Online.
