Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, MK K-Clique mengakui sudah melupakan sejarah silam, sekali gus mengutamakan kehidupan bersama keluarga selepas melalui pelbagai fasa dalam hidupnya.
MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 30, berkata, dia tidak kisah andai kisah lalu dijadikan ungkitan atau pihak lain berkongsi semula kisah lamanya yang kurang elok kerana secara tidak langsung mengingatkannya terhadap perubahan positif dilalui kini.
“Saya dah lepaskan semua masa silam saya. Tak salah kalau orang ‘throwback’ kisah lampau sebab tindakan itu akan beri saya peringatan agar terus berusaha menjadi insan lebih baik.
“Bagi saya tiada masalah sebenarnya, semua orang pun ada kisah silam tersendiri dan turut melalui perubahan dalam melayari fasa kehidupan. Paling penting adanya perubahan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur. Segala yang kita lalui dalam kehidupan sama ada baik mahupun sebaliknya dapat dijadikan iktibar,” katanya ketika pelancaran drama bersiri Sekali Lagi Bahagia, baru-baru ini.
Menurut anggota kumpulan K-Clique itu, perubahan paling ketara dalam kehidupannya adalah daripada gemar menghabiskan masa di luar kepada lebih selesa di rumah bersama keluarga.
MK juga bapa kepada seorang cahaya mata, Aya Rayana, turut menganggap dirinya bertuah kerana diberikan peluang menyaksikan sendiri perkembangan permata hati yang kini berusia dua tahun.
Katanya, jadual lakonan yang tidak sekerap dahulu memberi ruang untuknya meluangkan lebih banyak masa bersama insan tersayang selain menyaksikan permata hati membesar di depan mata.
“Saya diberi Allah peluang untuk tengok anak membesar. Dengan kerjaya saya dalam bidang lakonan yang tak terlalu kerap macam sebelum ini, saya percaya itu perancangan-Nya.
“Kalau sibuk berlakon, kadangkala pergi set awal pagi dan balik tak tahu pukul berapa. Jadi masa itu terhad. Tapi sekarang kerja pun ada, masa dengan keluarga pun dapat saya penuhi.
“Sekarang lebih fleksibel. Kalau kerja di luar kawasan saya bawa sekali anak dan isteri. Bekerja sambil manfaatkan masa dengan orang tersayang,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai drama bersiri Sekali Lagi Bahagia terbitan iQIYI Original, MK mengakui teruja bekerja di bawah arahan Jamal Khan serta bergandingan dengan ramai pelakon berpengalaman.
Selain MK, kisah berlatarkan perjalanan hidup ibu tunggal anak satu itu turut dibarisi Zara Zya, Izzue Islam, Afieq Shazwan serta Dayang Areeda. – KOSMO! ONLINE
The post Fokus keluarga, MK-Clique ‘lepaskan’ sejarah silam appeared first on Kosmo Online.
