
![]()
ALOR SETAR – Paras takungan air di tiga empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sehingga semalam merekodkan penurunan kepada 47.81 peratus berbanding 73.74 peratus, tahun lalu.
Menurut MADA, status semasa kedudukan takungan air tersebut mencatatkan paras sedikit rendah dengan pengurangan sebanyak 25.9 peratus.
Katanya, ia melibatkan Empangan Pedu sebanyak 401,585 ekar kaki atau 45.9 peratus, Empangan Muda 50,250 ekar kaki (40.2 peratus) dan Empangan Ahning 132,932 ekar kaki (59.61 peratus).
“Walaupun paras takungan mencatatkan penurunan, pihak MADA telah melaksanakan pengurusan air secara berhemah, terkawal dan mampu menyokong kelangsungan keperluan pengairan pertanian sehingga tamat musim penanaman semasa serta keperluan domestik dan industri.
“Bagi persediaan menghadapi permulaan musim 1/2026 yang dijangka bermula pada April depan, kedudukan takungan Empangan Pedu diramalkan berada sekitar 465,800 ekar kaki atau bersamaan 53.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, sumber pengairan daripada pelepasan empangan akan digunakan sebagai bekalan pengairan sokongan dan dijangkakan peralihan monsun akan berlaku dalam tempoh tersebut.
“Ia menyebabkan berlakunya turunan hujan dan boleh digunakan sebagai sumber bekalan pengairan untuk penanaman padi,” ujarnya.
Katanya, pemantauan paras empangan serta keadaan cuaca akan dilaksanakan secara berterusan, selaras dengan pelepasan air secara terancang mengikut keperluan pengairan dan jadual penanaman yang ditetapkan
“Pihak MADA akan terus komited dalam memastikan pengurusan sumber air dilaksanakan secara berkesan bagi menjamin kelangsungan pengeluaran padi negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Paras takungan tiga empangan MADA susut appeared first on Kosmo Digital.

