Auto Added by WPeMatico

![]()
RAUB – Seorang pemuda berumur 22 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol adik iparnya yang berusia 16 tahun di Karak, Bentong, awal tahun ini.
Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah flat pada 9 April lalu kira-kira pukul 11.15 pagi serta di kawasan air terjun pada 25 Oktober lalu kira-kira pukul 5.30 petang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan bagi maksud seksual dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Yazid didakwa merogol mangsa di flat yang sama pada 11 April lalu kira-kira pukul 9.30 pagi.
Kesalahan itu dilakukan terhadap seseorang yang tidak dibenarkan untuk dikahwini mengikut undang-undang, hukum agama serta adat, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta tidak kurang daripada 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab Hadi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE
The post Pemuda didakwa ‘noda’, ‘sentuh’ adik ipar 16 tahun appeared first on Kosmo Digital.