Auto Added by WPeMatico

![]()
WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance, memberi amaran konflik Iran yang semakin meluas boleh mencetuskan krisis tenaga serius apabila gangguan merebak di Selat Hormuz dan perairan antarbangsa, Bab al-Mandeb.
Serangan Iran merosakkan kemudahan ketenteraan AS di seluruh rantau berkenaan, manakala kemaraan Houthi di Yemen meningkatkan lagi pertempuran. Arab Saudi turut memperhebatkan serangan udaranya manakala Washington menyediakan sokongan risikan di negara beraja.
Amaran itu menjadi semakin penting dalam beberapa hari kebelakangan ini apabila tekanan Iran terhadap perkapalan di sekitar Selat Hormuz berlaku serentak dengan kemaraan pantas kumpulan Houthi di sepanjang pantai Laut Merah, Yemen.
Dalam satu temu bual menerusi audio sar ‘All-In Podcast’ kelmarin, Vance berkata, penglibatan AS di rantau itu kekal penting bagi melindungi pasaran tenaga, memastikan laluan perdagangan global selamat dan melindungi kepentingan strategik Amerika.
Beliau berkata, jika AS meninggalkan Asia Barat ketika tentera Iran terus menyasarkan kapal, rantaian bekalan tenaga global akan mengalami gangguan serius.
Vance menambah bahawa operasi AS bertujuan memastikan bekalan minyak dan gas asli antarabangsa terus ‘mengalir’.
Beliau berkata, operasi ketenteraan akan diteruskan selagi ancaman terhadap perkapalan antarabangsa masih wujud.
Houthi yang bersekutu dengan Iran telah menawan pelabuhan Laut Merah, Mocha, dan Pulau Perim yang mempunyai kepentingan strategik berhampiran Selat Bab al-Mandab.
Ketika krisis Asia Barat terus memberi tekanan besar terhadap sentimen pasaran dan harga minyak melebihi AS$100 (RM409) setong, pelabur-pelabur mendapat sedikit kelegaan daripada laporan bahawa Arab Saudi berusaha memulihkan kira-kira separuh kapasiti saluran paip minyak merentasi negara itu dalam tempoh beberapa hari selepas diserang dari Iraq.
Pengeksport minyak terbesar dunia itu minggu lalu menutup saluran paip Timur-Barat yang sepanjang kira-kira 1,200 kilometer antara medan minyak utamanya di bahagian timur dan terminal Yanbu di Laut Merah, selepas kemudahan minyaknya diserang dari Iraq, yang menjadi pangkalan kumpulan bersenjata pro-Iran.
Saluran paip itu menjadi penting bagi perdagangan minyak Riyadh selepas Iran menyekat Selat Hormuz pada awal perang di Asia Barat, sekali gus menjejaskan laluan eksport utamanya.
Berita syarikat milik kerajaan, Saudi Aramco, berusaha memulihkan kapasiti saluran paip itu kepada tahap penuh dalam tempoh kira-kira enam minggu menyebabkan harga minyak mentah merosot kira-kira tiga peratus pada Rabu, sebelum menurun lebih satu peratus semalam.
The post Konflik Iran, Houthi cetus krisis tenaga serius appeared first on Utusan Malaysia.
