Auto Added by WPeMatico

![]()
KATHMANDU: Perubahan iklim kemungkinan besar menjadi punca glasier runtuh sehingga mencetuskan banjir besar dan mengorbankan ribuan nyawa di Nepal serta Tibet bulan lalu, menurut dapatan kajian saintifik pertama yang didedahkan kelmarin.
Pasukan penyelidik mengesan keadaan suhu panas luar biasa berlaku sebelum runtuhan glasier terbabit yang menyebabkan 110 juta meter padu salji dan ais melimpah ke kawasan lembah di bawahnya.
Kejadian tersebut seterusnya mencetuskan banjir kilat pada skala yang belum pernah berlaku dan menghanyutkan komuniti di hilir sungai tanpa sebarang amaran awal.
Profesor Sains Iklim di Imperial College London yang mengetuai kajian tersebut, Dr. Friederike Otto mengecam kesan aktiviti pencemaran global yang kini terpaksa ditanggung oleh penduduk tempatan.
“Komuniti di Nepal terpaksa membayar dengan nyawa mereka akibat krisis yang berpunca daripada pelepasan bahan api fosil,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa apabila pemanasan global mula menjejaskan kestabilan kawasan puncak dunia, tiada sebarang bentuk penyesuaian tempatan yang mampu melindungi sepenuhnya penduduk di kawasan hilir daripada skala kemusnahan.
Dalam kejadian pada 26 Ogos lalu, lebih 1,300 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 6,000 orang lagi masih hilang selepas sebahagian besar bongkah glasier dan batuan berukuran kira-kira 200,000 meter persegi runtuh dari Gunung Langtang Lirung.
Bongkah berkenaan jatuh dari ketinggian kira-kira 1,400 meter dan menghempas dasar lembah dengan impak amat dahsyat sehingga mencatatkan bacaan gegaran seumpama gempa bumi.
Hentaman itu mencairkan ais serta merta dan mencetuskan gelombang banjir sejuk melampau yang meluncur ke hilir sungai pada kelajuan melebihi 177 kilometer sejam. – AGENSI
The post Krisis iklim disyaki punca runtuhan glasier di Nepal appeared first on Utusan Malaysia.
