Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memantau keselamatan dan kebajikan pelajar Malaysia yang kini sedang melanjutkan pengajian di Timur Tengah susulan perkembangan konflik yang berlaku di rantau berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan mendapatkan panduan daripada Kementerian Luar Negeri bagi memastikan sebarang tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya keadaan memerlukan.
Beliau berkata, setakat ini KPT belum menerima sebarang maklumat terkini mengenai keadaan pelajar Malaysia di Timur Tengah yang terjejas akibat krisis berkenaan.
“Kita juga mengambil maklum kerana di peringkat KPT, sumber rujukan kita ialah Kementerian Luar Negeri. Apa pun, kita akan mendapatkan panduan daripada Kementerian Luar Negeri bagi memastikan perjalanan pelajar-pelajar kita dan keadaan mereka yang sedang belajar di sana.
“Kita perlu mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk memastikan keberadaan rakyat Malaysia, khususnya pelajar yang belajar di negara-negara Timur Tengah ini sentiasa dikawal dan dipastikan keselamatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia Madani 2026, di sini hari ini.
Program itu menghimpunkan seramai 456 pelajar tempatan yang bakal melanjutkan pengajian ke Mesir, Maghribi dan Jordan. – KOSMO! ONLINE
The post KPT terus pantau rapat keselamatan pelajar Malaysia di Timur Tengah appeared first on Kosmo Digital.


