Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Impian Nur Hartini Hidayah yang memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di Mesir akan dikotakan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Ini selepas Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan akan membantu remaja itu untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan walaupun ibunya meninggal dunia semalam.
Menerusi perkongsian di Facebook, Asyraf Wajdi meluahkan rasa sedih menerima berita pemergian Allahyarham Roselawati Ibrahim @ Mohd Ali yang meninggal dunia ketika menjalani rawatan dialisis.
Menurut Asyraf, Nur Hartini dari Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan itu meluahkan impian bergelar doktor untuk merawat arwah ibunya yang sakit dalam perbualan menerusi panggilan video yang dibuat kepada remaja itu sehari sebelum kematian ibunya.
“Insya-Allah, Mara tetap akan membantu adik Hartini meneruskan pengajian ke Mesir biarpun ibunya telah tiada, impian arwah tidak akan kami biarkan terkubur,” katanya.
Pihak Mara turut menghubungi Ketua Pemuda UMNO Indera Mahkota, Nik Mohd Ridzuan untuk menziarahi keluarga serta menyampaikan bantuan kepada pelajar itu.
Sebelum ini Asyraf Wajdi berkongsi mengenai impian Nur Hartini untuk bergelar doktor bagi merawat ibunya.
Impian gadis tersebut untuk menyambung pengajian ke luar negara turut direstui oleh ibunya yang berada di sisi.
Walau bagaimanapun wanita tersebut meninggal dunia sehari selepas itu. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Ibu sempat beri restu anak ke Mesir sebelum meninggal dunia appeared first on Kosmo Digital.