Auto Added by WPeMatico

BAYANGKAN menikmati ulas Musang King yang berlemak sambil ditiup angin petang di sebuah taman yang redup, ditemani secawan kopi panas dan hidangan pasta. Tiada lagi pengalaman berpeluh di gerai tepi jalan atau perlu memandu jauh ke dusun.
Kini, musim durian boleh dinikmati dalam suasana sebuah kafe taman dengan harga yang tidak jauh bezanya daripada gerai biasa yang membolehkan pengunjung menikmati durian dalam suasana lebih santai, selesa dan sesuai untuk seisi keluarga, tanpa perlu membayar lebih mahal.
Menurut Pengusaha EzyCafé by EzyDurian, Khairul Anuar Mohamadiah, konsep tersebut diwujudkan kerana kebanyakan peniaga durian menjual secara tradisional di tepi jalan, sedangkan ramai pelanggan kini mahukan keselesaan ketika menikmati musim durian.

“Ramai orang jual durian, tetapi kebanyakannya di tepi jalan. Kalau tengah hari memang panas dan kurang selesa.
“Di sini kita sediakan tempat makan berkonsepkan garden cafe lengkap dengan surau, tandas yang selesa serta ruang makan yang sesuai untuk keluarga, rakan-rakan atau majlis kecil,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Lebih menarik, harga durian yang ditawarkan kekal setanding dengan gerai tepi jalan walaupun pelanggan menikmati kemudahan seperti sebuah restoran.
Menurut Khairul Anuar, musim durian tahun ini menyaksikan bekalan yang sangat banyak menyebabkan harga jatuh mendadak sehingga memberi manfaat kepada pengguna.
“Cuaca yang baik menyebabkan hasil durian sangat banyak. Bila bekalan banyak, harga pun turun. Bagus untuk pelanggan sebab mereka boleh makan lebih banyak.
“Sekarang ada durian yang harganya bawah RM10 sekilogram. Blackthorn yang sebelum ini pernah mencecah sekitar RM130 sekilogram kini dijual serendah RM15 sekilogram bergantung kepada saiz,” katanya.
Katanya, EzyCafé turut mencuri perhatian apabila menawarkan promosi luar biasa seperti Musang King serendah RM5 sebiji dan Udang Merah sekitar RM3 sebiji ketika kemuncak musim.

Selain menikmati pelbagai jenis durian dari seluruh negara, pelanggan juga boleh memilih menu makanan lain sekiranya datang bersama ahli keluarga atau rakan yang tidak menggemari durian.
Antara hidangan yang menjadi pilihan ialah nasi goreng kambing, nasi goreng Special EzyCafé, burger, menu makanan barat seperti spaghetti spicy creamy soft shell crab, linguine tomyam seafood, linguine aglio olio, mac and cheese serta pencuci mulut berasaskan durian seperti cendol atau pulut durian.
“Kita faham bukan semua orang makan durian. Jadi kalau datang satu keluarga, ada yang boleh makan makanan barat atau makanan tempatan, sementara yang lain menikmati durian,” katanya.
Durian yang dijual diperoleh dari pelbagai negeri mengikut varieti masing-masing, termasuk Musang King dari Pahang, Blackthorn dari Pulau Pinang dan Perak serta D13 dan IOI dari Johor.
Setiap hari, enam cawangan EzyDurian menjual kira-kira 30 tan durian ketika musim kemuncak dan kebanyakannya habis terjual pada hari sama.
Bagi memastikan kualiti dan kesegaran buah sentiasa terpelihara, semua durian disimpan di dalam bilik khas berhawa dingin jika ada baki yang tidak habis terjual pada hari tersebut.

Menurut Khairul Anuar, musim durian bukan sekadar masa untuk menikmati raja buah, malah sudah menjadi acara tahunan yang menghimpunkan keluarga, rakan-rakan dan syarikat yang mengadakan jamuan untuk kakitangan.
“Orang datang bukan sekadar makan durian. Mereka datang bawa keluarga, buat gathering, sambut hari jadi atau sekadar lepak sambil minum kopi.
“Itulah pengalaman yang kita mahu berikan, menikmati durian dalam suasana yang selesa dengan harga yang sama seperti di tepi jalan,” katanya.
Dia turut berharap konsep itu dapat diperkenalkan kepada lebih ramai pelancong asing sebagai antara pengalaman gastronomi yang unik di Malaysia dengan kerjasama agensi pelancongan pada masa hadapan.
The post Makan durian di kafe, tapi bayar harga ‘tepi jalan’ appeared first on Utusan Malaysia.


