
![]()
KUALA KRAI – Perbuatan kejam seorang buruh yang bertindak menetak ibu saudara dan sepupunya sehingga cedera kira-kira empat tahun lalu berbalas selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun.
Tertuduh, Nazli M. Taib, 49, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap Siti Bidah Hamat, 67, dan Raja Adnan Raja Mohamed, 48, menggunakan sebilah parang dengan niat menyebabkan kecederaan kepada dua individu tersebut.
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Selajur Laloh di sini kira-kira pukul 2.30 petang pada 30 Disember 2022.
Pertuduhan bagi kedua-dua kes dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farazalila Fauzi.
Terdahulu, Mazlinda mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak lagi mengulangi kesalahan tersebut.
Farazalila dalam rayuannya memaklumkan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
“Tertuduh yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM30 sehari merupakan seorang duda yang sudah kematian isterinya dan mempunyai tiga orang anak. Salah seorang anak merupakan orang kurang upaya yang kini berada di bawah jagaan ibu mentuanya,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan bermula tarikh sabitan iaitu hari ini dan kedua-dua hukuman tersebut berjalan secara serentak.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menetak Siti Bidah dengan sebilah parang sehingga menyebabkan warga emas itu cedera pada bahagian belakang badannya.
Nazli kemudian bertindak menetak kepala Raja Adnan ketika lelaki itu cuba membantu ibunya yang cedera sebelum tertuduh melarikan diri selepas beberapa orang kampung datang ke rumah.
Mengikut keterangan Siti Bidah, dia menjaga Nazli yang merupakan anak saudaranya sejak kecil dan sering takut sekiranya tertuduh mengamuk di rumah.
Tertuduh juga tidak boleh ditegur malah sering bertindak di luar kawalan ketika dia berada dalam pengaruh dadah dan alkohol. – KOSMO! ONLINE
The post Buruh tetak ibu saudara, sepupu dipenjara tiga tahun appeared first on Kosmo Digital.






