Auto Added by WPeMatico

Arena e-sukan negara terus membuktikan kematangannya apabila semakin ramai pemain tempatan berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa.
Jika suatu ketika dahulu, sukan elektronik itu hanya dianggap sebagai hobi, kini berkembang menjadi industri kompetitif yang membuka peluang kepada pemain muda untuk mengharumkan nama negara.
Kejayaan Team Vertice menjuarai kejohanan Samsung #PlayGalaxy Cup 2026, Kelayakan Serantau Asia Tenggara menjadi bukti bahawa Malaysia memiliki bakat yang mampu bersaing dengan pasukan terbaik di dunia.
Pasukan yang dianggotai empat pemain itu muncul juara pada pertandingan berlangsung secara dalam talian tersebut selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam permainan PUBG Mobile.
Kemenangan tersebut melayakkan Team Vertice beraksi di #PlayGalaxy Cup World Finals yang akan berlangsung sempena Gamescom 2026 di Cologne, Jerman, sekali gus membawa cabaran Asia Tenggara ke pentas global.
Untuk makluman, #PlayGalaxy Cup merupakan liga kejohanan global yang mengetengahkan keupayaan permainan pada peranti Galaxy.
Bagi edisi tahun ini, pertandingan itu tampil dengan pembaharuan apabila berkembang menjadi liga e-sukan sepanjang tahun menerusi kerjasama dengan PUBG Mobile.
Format baharu itu membuka ruang kepada lebih banyak pasukan dari pelbagai rantau bersaing secara berperingkat, sebelum merebut tempat ke pusingan akhir.
Sepanjang saingan kelayakan Asia Tenggara, Team Vertice mempamerkan persembahan yang konsisten dengan mengatasi beberapa pasukan terbaik dari Vietnam, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Gabungan strategi, komunikasi serta kerjasama mantap menjadi faktor utama membantu mereka mengungguli pertandingan yang menyaksikan setiap pasukan menggunakan Samsung Galaxy S26 Ultra sebagai peranti rasmi kejohanan itu.
Peranti tersebut dilengkapi unit pemprosesan neural (NPU) yang 39 peratus lebih berkuasa serta unit pemprosesan pusat (CPU) yang 19 peratus lebih pantas bagi menyokong pengalaman permainan berintensiti tinggi.
Kejayaan Team Vertice turut menyaksikan mereka bakal ditemani wakil Indonesia, Team Vonzy yang muncul naib juara kelayakan Asia Tenggara.
Kejayaan itu turut memperlihatkan peningkatan standard persaingan e-sukan di Asia Tenggara kerana sejak sekian lama, rantau ini dikenali sebagai antara paling kompetitif bagi permainan PUBG Mobile.

Biarpun berdepan pasukan-pasukan terbaik dari Vietnam, Indonesia, Thailand dan Filipina, namun Team Vertice berjaya mengekalkan rentak permainan yang konsisten sepanjang kejohanan.
Prestasi tersebut bukan sahaja menghadiahkan kejuaraan kepada Malaysia, malah membuktikan bahawa gabungan disiplin, komunikasi dan strategi mampu menjadi pemisah ketika saingan berada pada tahap tertinggi.
Kedua-dua pasukan itu akan berdepan juara dari rantau lain pada pusingan akhir dunia di Gamescom iaitu antara acara permainan video dan hiburan interaktif terbesar di dunia.
Untuk makluman, Team Vertice diketuai oleh Muhammad Nur Ihsan Ismail atau lebih dikenali sebagai San Gaming yang juga merupakan seorang influencer #TeamGalaxy dalam komuniti e-sukan tempatan.
Menurutnya, kejayaan tersebut bukan hasil usaha individu, sebaliknya lahir daripada kepercayaan dan kesepakatan seluruh pasukan yang dibarisi Dep, ICAA dan Kluq.
“Kami sentiasa bergerak ke hadapan untuk merancang strategi bagi perlawanan seterusnya, walaupun melakukan kesilapan.
“Saya sangat gembira kerana sudah lama mengimpikan untuk ke Jerman dan ia satu penghormatan apabila dapat membawa Jalur Gemilang ke pentas dunia,” katanya.
Bagi Ihsan, kemenangan itu melengkapkan tahun yang cukup cemerlang dalam kariernya.
Pada Februari lalu, dia dipilih menyertai kejohanan global PUBG Mobile Open di San Francisco, Amerika Syarikat bersama tiga lagi wakil #TeamGalaxy dari seluruh dunia.
Pasukan tersebut berjaya muncul juara, sekali gus memberikan pengalaman berharga kepadanya bersaing bersama pemain bertaraf antarabangsa.
Selepas muncul juara Kelayakan Serantau Asia Tenggara, Team Vertice kini menggalas cabaran Malaysia dan rantau Asia Tenggara ke #PlayGalaxy Cup World Finals di Jerman pada penghujung Ogos ini.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi pusingan akhir dunia, Ihsan berkata, fokus utama pasukannya kini adalah mengkaji corak permainan bakal lawan, selain mempertingkatkan latihan harian.
“Kami mengkaji pasukan yang bakal kami hadapi dan menjalani latihan setiap hari sebagai persediaan menghadapi final,” katanya.
Sementara itu, Ketua Mobile Experience Samsung Malaysia Electronics, Matthew Ng berkata, kemenangan Team Vertice bukan sekadar membanggakan Malaysia, malah mencerminkan perkembangan pesat komuniti permainan mudah alih di rantau Asia Tenggara.
Menurut Matthew, perkembangan teknologi pada peranti moden seperti Galaxy S26 Ultra telah membantu membuka lebih banyak peluang kepada pemain untuk berlatih dan bersaing pada tahap tertinggi menerusi prestasi lebih lancar, grafik lebih baik serta pengalaman permainan responsif.
“Kami percaya, teknologi mampu menjadi pemangkin kepada generasi baharu bakat e-sukan.
“Ini membolehkan mereka berlatih, bertanding dan berhubung dengan komuniti permainan global, walau di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Kini, tumpuan Team Vertice beralih sepenuhnya ke #PlayGalaxy Cup World Finals di Gamescom 2026 yang bakal menemukan mereka dengan juara dari Eropah, Amerika
Utara, Amerika Latin, India serta rantau lain dalam perebutan gelaran dunia.
Selain memburu kejuaraan, penyertaan itu menjadi peluang untuk membuktikan bahawa pemain Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan kuasa-kuasa besar e-sukan dunia serta mengangkat nama negara di pentas antarabangsa.
The post Team Vertice bawa cabaran Malaysia di pentas dunia appeared first on Kosmo Digital.
