Auto Added by WPeMatico

Karnival Pendidikan Madani 2026 yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana baru-baru ini telah berlangsung meriah.
Karnival itu telah menerima sambutan menggalakkan daripada lebih 500 warga Shah Alam, Selangor dan sekitar Lembah Klang yang terdiri daripada warga pendidik, pelajar sekolah serta ibu bapa.
Penganjuran karnival yang bermula sejak tahun 2023 itu terus menjadi wadah untuk Kementerian Pendidikan melalui PPD menyalurkan maklumat berguna berhubung modul-modul diajar di sekolah dan kolej vokasional.
Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Mohd. Azuan Mohd. Nawawi, sambutan hangat pengunjung di karnival tersebut adalah disebabkan daerah itu menjadi lokasi pertama karnival berkenaan pada tahun ini.
“Kita lihat program PPD Petaling Perdana ini sangat menggalakkan, dan ia mendapat sambutan baik daripada komuniti serta masyarakat setempat di Shah Alam.
“Kita memberi peluang kepada masyarakat, ibu bapa dan komuniti untuk mendapatkan berita-berita terkini berkenaan pendidikan, khususnya berkaitan reformasi pendidikan,” katanya selepas merasmikan karnival tersebut di Plaza Shah Alam.
Mohd.Azuan menambah, pada karnival tersebut, pelbagai program diadakan termasuk pameran melibatkan reruai daripada pihak sekolah dan kolej vokasional yang menampilkan produk inovasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hasil ciptaan pelajar.
“Sebenarnya dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM), TVET adalah agenda yang penting untuk memastikan pelajar kita berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran apabila melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi.
“Oleh itu, kita akan adakan karnival ini di 10 daerah di Selangor, dan PPD Petaling Perdana menjadi pemula karnival tahun 2026,” katanya.
Sementara itu, bagi guru subjek Pemesinan Industri dari Kolej Vokasional Shah Alam, Khalilahanum Zainal Abidin berkata, karnival tersebut memberi peluang kepada pihaknya berkongsi modul dan mesin yang digunakan untuk mendidik pelajar-pelajar dalam kelas TVET.
Jelasnya lagi, sebagai guru subjek Pemesinan Industri, karnival tersebut memberi ruang kepadanya berkongsi informasi secara terus kepada bakal pelajar dan ibu bapa mereka.

“Bidang TVET ini (Pemesinan Industri) memberi skil terkini yang diperlukan oleh seorang pelajar.
“Bidang ini mempunyai masa depan yang cerah untuk pelajar-pelajar (dalam bidang pekerjaan).
“Sehubungan itu, pihak kami mengalu-alukan orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan subjek TVET yang disediakan di kolej kami,” ujarnya.
Dalam masa sama, bagi mendedahkan bidang STEM kepada orang ramai, pemenang anugerah inovasi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam turut mengadakan pameran produk mereka pada karnival tersebut.
Sementara itu, Guru Besar SK Setia Alam, Mohd. Salahuddin Nayan berkata, sebanyak tiga produk inovasi yang memenangi lima pingat emas di International Invention and Innovation Competition, Innovation World Cup yang berlangsung di Universitas Negeri Jakarta, Indonesia baru-baru ini turut dipamerkan pada karnival tersebut.
“Antara inovasi dipamerkan adalah produk untuk membantu orang buta iaitu kasut khas yang boleh mengesan halangan dan lain-lain ciri khas untuk memudahkan pergerakan golongan tersebut.
“Selain itu, kita juga mempamerkan ciptaan bernama ‘dose bell’ untuk mengingatkan orang yang perlu makan ubat pada waktu ditetapkan.
“Kita juga menghasilkan produk cermin mata untuk membantu pemandu kereta supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga tanpa mengantuk di jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kanan Plaza Shah Alam, Azura Mokhtar memaklumkan, sebagai rakan strategik karnival tersebut, pihaknya mengalu-alukan program sedemikian untuk terus diadakan di premis berkenaan.
Katanya lagi, program pendidikan akademik mahupun TVET sememangnya mendapat perhatian warga bandar raya itu, dan di Lembah Klang.
“Saya berharap, program pendidikan sebegini diteruskan di sini pada masa depan kerana tempat ini terletak berdekatan sekolah dan kawasan perumahan.
“Jadi, ia sesuai untuk dikunjungi oleh masyarakat di sekitarnya,” katanya sebelum menutup bicara.
The post Karnival Pendidikan Madani 2026 fokus STEM, TVET appeared first on Kosmo Digital.
