Auto Added by WPeMatico

![]()
GUA MUSANG – Isu baik pulih rumah, ancaman gajah liar dan bekalan elektrik antara masalah utama yang disuarakan oleh penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik dan Kuala Wok sempena Program Kembara Rakyat Nenggiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, hasil lawatan ke kawasan pedalaman itu mendapati, banyak rumah penduduk sudah uzur dan memerlukan kerja-kerja pembaikan segera.
Katanya, keperluan yang dikenal pasti antaranya penukaran bumbung zink, pembaikan struktur serta pendawaian elektrik baharu kerana terdapat rumah yang menggunakan pendawaian lama dan tidak lagi selamat.
“Isu tersebut disuarakan rakyat Orang Asli dan saya lihat banyak rumah sudah agak berusia dan perlu dibaiki.
“Di Kampung Bering ada rumah yang pendawaiannya sudah tidak selamat. Insya-Allah saya akan mengangkat perkara ini supaya penduduk mendapat pendawaian baharu,” katanya selepas Program Kembara Rakyat Nenggiri di RPS Pasik dan Kuala Wok.
Mohd. Azmawi memberitahu, terdapat juga permohonan rumah baharu daripada pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga dan perkara itu akan dibincangkan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Katanya, selain isu perumahan, ancaman gajah liar yang berlarutan sejak 2022 atau 2023 masih menjadi kebimbangan utama penduduk di RPS Pos Pasik dan Kuala Wok. – KOSMO! ONLINE
The post Rumah uzur, haiwan liar ancam masyarakat Orang Asli Pasik, Kuala Wok appeared first on Kosmo Digital.
