Auto Added by WPeMatico

BENTONG – Di sebalik keindahan alam semula jadi dan panorama mengasyikkan di sepanjang Jalan Lama KL-Bentong di sini, ada ancaman senyap daripada kewujudan pokok-pokok besar yang sudah berusia puluhan tahun di sepanjang tebing bukit di laluan berkenaan.
Situasi itu dilihat berpotensi menjadi ‘bom jangka’ kepada ribuan pengguna jalan raya serta pengunjung yang melalui jalan tersebut setiap hari terutama pada hujung minggu.
Tragedi yang meragut empat nyawa empat sekeluarga berhampiran pintu gerbang Janda Baik kelmarin menjadi bukti kukuh bahawa kejadian pokok tumbang tidak semestinya berlaku ketika hujan lebat ataupun ribut.
Insiden menyayat hati yang tidak dijangka itui mengundang persoalan besar mengenai tahap keselamatan pokok-pokok besar di sepanjang laluan berbukit menuju ke Janda Baik.
Ketua Kampung Bukit Tinggi, Ismail Che Mat berkata, pokok yang tumbang dari jenis meranti bukit itu sudah terlalu tua dan tumbuh di tebing bukit.

Katanya, pokok berkenaan mempunyai diameter hampir tiga pemeluk dewasa itu dan dipercayai tumbang ke jalan raya selepas akarnya terkeluar daripada tanah kerana berada di tebing bukit.
“Pokok tua ini memang berbahaya kerana berada di tebing bukit. Walaupun tiada hujan atau ribut, ia tetap tumbang. Sepanjang jalan ini masih terdapat banyak pokok besar yang boleh mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya jika tidak dipantau,” katanya di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari kelmarin, empat sekeluarga maut, manakala seorang cedera selepas kenderaan jenis Ford Raptor dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong berhampiran pintu gerbang Janda Baik di sini.
Mangsa yang maut ialah Ketua Pemuda UMNO Maran, Mohd RAdzi Rahimi, 40, isterinya Nuraini Muhammad Jafri,36, anak mereka Muhammad Rizz Hazim,5 dan adik iparnya Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.
Mengulas lanjut, Ismail mengakui risiko pokok tumbang boleh berlaku bila-bila masa terutama di kawasan tebing yang struktur tanahnya tidak kukuh.
Pakar Jabatan Sains Tumbuhan Kuliah Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr. Rozilawati Shahari berkata, pokok meranti tumbuh di hutan tanah pamah sehingga hutan dipterokarpa bukit di Malaysia, Thailand dan Singapura.
Katanya, pokok jenis tersebut juga biasanya ditemui di lereng-lereng dan permatang bukit.
“Pokok ini boleh mencapai sehingga 60 meter tinggi dan diameter batang mencapai hingga hampir dua meter,” katanya.
Dalam pada itu, penilaian risiko terhadap pokok-pokok matang di sepanjang laluan FT68 (Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur) berhampiran
Genting Sempah dan Bukit Tinggi perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, insiden tragis yang mengorbankan empat nyawa kelmarin membuktikan langkah pencegahan sedia ada perlu diperkukuhkan secara lebih menyeluruh.

“Laluan FT68 merupakan nadi perhubungan penting bagi daerah Bentong kerana bukan sahaja menghubungkan kawasan pelancongan seperti Kampung Janda Baik dan Bukit Tinggi, malah menjadi laluan alternatif utama apabila berlaku kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
“Faktor geografi laluan yang dikelilingi kawasan berbukit serta pokok-pokok matang menyebabkan isu kestabilan cerun dan risiko pokok tumbang sentiasa diberi perhatian termasuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Bentong,” katanya.
Sementara itu, suasana pilu dan hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Sri Chedung di sini semalam apabila empat sekeluarga yang maut dalam tragedi pokok tumbang dikebumikan dalam satu kubur.
Terdahulu, kesemua jenazah dituntut ahli keluarga secara berperingkat antara pukul 10 malam hingga 11.45 malam selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kampung Paya Luas, Temerloh untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan sebelum dibawa pulang ke Maran.
Hampir 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, penduduk setempat, pemimpin politik dan rakan-rakan hadir mengiringi pengebumian, sekali gus mencerminkan jasa serta hubungan akrab Allahyarham Mohd. Radzi dengan masyarakat setempat.
The post Ancaman pokok tua tebing bukit Janda Baik appeared first on Kosmo Digital.
