
![]()
SHAH ALAM – Suami kepada pelakon terkenal, Erra Fazira iaitu Ezwan Zain mendedahkan bunga emas yang dijadikan sebagai mas kahwin adalah kejutan kepada isterinya.
Menurut Ezwan, Erra mengetahui tentang dinar emas, namun tidak tahu dia akan menerima dalam bentuk pokok ufti yang mempunyai 24 keping dinar emas.
‘Banyak kejutan yang saya cuba sediakan untuk Erra hari ini, antaranya mas kahwin yang dijadikan bunga emas. Itu tanda kasih seorang suami buat isteri. Sebelum ini dia sudah tahu tentang dinar emas itu tetapi tidak tahu akan diberikan sebanyak 24 keping.
“Tiada simbolik nombor 24 itu, sebaliknya sekadar ingin mencukupkan berat 100 gram,” katanya kepada Kosmo Online.
Selain bunga emas, majlis pernikahan ketiga Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu diserikan dengan keunikan tersendiri apabila hangtara buat mempelai menggunakan sebuah talam yang diangkat dengan tandu. Tandu yang dibawa oleh empat lelaki itu mengandungi barangan antaranya cincin mewah, tas tangan, jam tangan dan minyak wangi.
Kembali menyarungkan baju ‘isteri orang’ selepas 11 tahun hidup solo, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, pula mendedahkan orang yang bertanggunjawab merancang segala keperluan dan majlis perkahwinan mereka adalah Ezwan sendiri.
“Kalau perkahwinan sebelum ini saya yang banyak uruskan. Tetapi kali ini boleh dikatakan Ezwan yang menguruskan 95 peratus segala urusan perkahwinan,” kata Erra menyifatkan Ezwan sebagai lelaki santun yang cukup membahagiakan dirinya.
Ditanya tentang perancangan berbulan madu, Erra terpaksa menunda tarikh bulan madu mereka sehingga selepas Aidilfitri nanti memandangkan komitmen terhadap beberapa jadual penggambaran dan konsert yang akan berlangsung Februari nanti.
Erra sah menjadi isteri kepada Ezwan dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Kampung Melayu Subang tepat jam 9.19 pagi tadi dalam sebuah majlis bertemakan perkahwinan dalam taman dihadiri sekitar 200 tetamu. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Bunga emas, kejutan tanda kasih untuk Erra Fazira’ appeared first on Kosmo Digital.
Cik Aniey
Cik Aniey