Auto Added by WPeMatico

![]()
KULIM – Operasi memadam kebakaran tiga kilang dan sebuah gudang di Jalan Makmur 7, Lunas di sini yang berlarutan selama tiga hari ditamatkan sepenuhnya malam ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah dalam kenyataan berkata, operasi berakhir pada pukul 8.29 malam selepas pemantauan menyeluruh mendapati tiada lagi punca api dikesan dan kerja-kerja overhaul selesai dilaksanakan.
Katanya, operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul berdepan cabaran apabila timbunan sisa runtuhan menghalang akses anggota ke dalam bangunan.
“Bagi mengatasi masalah itu, tiga unit ekskavator digerakkan bagi mengalihkan runtuhan sekali gus membolehkan pasukan bomba meneruskan kerja dengan lebih berkesan.
“Sepanjang operasi, anggota bomba dibahagikan kepada empat sektor bagi memastikan kerja pemadaman, pemeriksaan titik panas (hot spot) dan kawalan risiko penyalaan semula dapat dilakukan secara sistematik,” katanya.
Kejadian itu mengakibatkan tiga kilang masing-masing mengalami kemusnahan dianggarkan 95 peratus, 90 peratus dan 60 peratus, manakala sebuah gudang musnah kira-kira 80 peratus.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Kosmo! pada kelmarin melaporkan kebakaran besar yang melibatkan tiga kilang dan sebuah gudang melibatkan bahan seperti lilin, pakaian dan kotak di Jalan Makmur 7, Lunas.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 6.53 pagi itu berjaya dikawal pasukan bomba pada pukul 9.20 pagi bagi mengelakkan api terus merebak. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga hari padam kebakaran tiga kilang, gudang appeared first on Kosmo Digital.
