Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Seramai 10 lelaki kini menjadi bruuan bagi membantu siasatan dua kes pergaduhan di Taman Alam Megah dan Taman Sri Muda, termasuk mengakibatkan kematian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, daripada jumlah itu, tujuh suspek dikehendaki bagi membantu siasatan kes di Taman Alam Megah manakala tiga lagi berkaitan kes di Taman Sri Muda.
“Kesemua suspek tempatan berusia lingkungan 23 hingga 46 tahun dan masih bebas.
“Justeru, polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung keberadaan kesemua suspek berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Susulan daripada dua kes tersebut, polis telah melakukan beberapa siri serbuan di Taman Sri Muda, Seksyen 19 Shah Alam, Klang, Muar dan Iskandar Puteri, Johor bermula 14 hingga 28 Ogos lalu.
Hasil serbuan itu, kata Shazeli, polis berjaya menahan 21 lelaki tempatan berumur lingkungan 23 hingga 46 tahun.
“Hasil semakan mendapati beberapa suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kesalahan berkaitan dadah.
“Polis turut merampas pelbagai senjata yang antaranya tujuh bilah parang, sebatang tukul besi, dua pemotong kabel, satu alat pengunci stereng, sembilan buah kereta, tiga buah motosikal serta beberaps buah telefon bimbit daripada pelbagai jenama,” katanya.
Menurut beliau, daripada 21 lelaki yang ditahan, lapan telah dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), empat lagi didakwa mengikut Seksyen 148 KK manakala lapan lelaki dibebaskan.
Menurutnya, kedua-dua kes tersebut tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain apabila kes di Taman Alam Megah dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan sementara kes di Taman Sri Muda pula disebabkan salah faham.
Tambahnya, siasatan polis mendapati mangsa yang maut dalam kes di Taman Alam Megah mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kosmo! sebelum ini melaporkan lapan individu termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap telah didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 4 September atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Taman Alam Megah.
Mereka ialah K. Thivagar, 29, Shaik Hasanudin Ahlauwudin, 26, Sheik Mauludin, 24, M.K. Puwanesearan, 39, R. Darvin Raj, 23, S.R. Harikrisnan, 42, A. Rhubban, 37 dan Soulami Ahimsha, 46. – KOSMO! ONLINE
The post 10 lelaki diburu, bantu siasatan dua kes gaduh appeared first on Kosmo Digital.
