Auto Added by WPeMatico

![]()
SAAT doktor mengesahkan seseorang menghidap kanser, ia bukan sahaja mengubah kehidupan pesakit dalam sekelip mata, malah seluruh keluarga terutama penjaga turut terkesan dan perlu mengharungi cabaran yang sama.
Ada kalanya penjaga terpaksa mengetepikan kerjaya, masa dan emosi demi memastikan insan tersayang terus kuat menjalani rawatan.
Tanpa disedari, mereka juga berjuang dengan keletihan fizikal, tekanan emosi dan kebimbangan yang berpanjangan.
Rutin harian keluarga berubah apabila penjaga perlu menguruskan temu janji rawatan, keperluan harian pesakit dan pada masa sama meneruskan tanggungjawab terhadap keluarga.
Beban kewangan pula semakin menghimpit apabila kos pengangkutan, rawatan, ubat-ubatan dan perbelanjaan harian terus meningkat, terutama bagi keluarga yang perlu berulang-alik ke hospital dalam tempoh yang panjang.
Realiti itu semakin membimbangkan apabila data menunjukkan 110 individu didiagnosis menghidap kanser sehari dengan wanita dilaporkan paling tinggi dijangkiti barah membunuh.
Antara kanser yang paling banyak dan kerap dihidapi termasuk payudara, kolorektal (usus besar dan rektum) prostat, paru-paru serta rahim.
Institut Kanser Negara mendedahkan, dapatan itu diperoleh melalui data yang dikumpul Registri Kanser Kebangsaan Malaysia dengan 18,240 kes baharu lelaki menghidap kanser kolorektal, paru-paru dan prostat pada 2024.
Dalam kalangan wanita pula, sebanyak 21,958 kes kanser baharu dilaporkan tahun sama dengan tiga kanser utama iaitu payudara, kolorektal dan rahim.
Berdasarkan data itu, semakin ramai pesakit dan keluarga terpaksa mengharungi perjuangan yang panjang demi memastikan insan tersayang terus mendapat rawatan dan peluang meneruskan hidup.
Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, masyarakat perlu memainkan peranan lebih besar dalam memberikan sokongan kepada pesakit kanser dan keluarga mereka.
“CSM menyediakan platform dan ruang untuk pesakit serta keluarga berkongsi kisah kerana kita mahu suara mereka didengar supaya masyarakat faham apa yang mereka lalui.
“Kalau tidak, kita tidak nampak dan tidak tahu bagaimana kanser boleh memberi kesan kepada seluruh keluarga,” katanya.
Situasi menjadi lebih mencabar apabila anak menghidap kanser kerana ibu lazimnya memberi sepenuh perhatian menjaga anak, manakala bapa pula bekerja sambil memikirkan keperluan anak-anak lain.
“Jadi banyak pihak yang terlibat dalam situasi begini. Apa peranan masyarakat? Kita ziarah, tanya khabar, beri sokongan dan bantuan.Kalau kita boleh beri bantuan kewangan, kita bantu. Beri apa sahaja yang mampu kerana kita mahu masyarakat lebih prihatin terhadap keperluan mereka,” ujarnya.
Katanya, penderitaan pesakit tidak semestinya dilihat dengan mata kasar kerana ada antara mereka yang bergantung kepada peralatan perubatan tertentu sepanjang masa.
“Kita tengok keadaan luaran nampak sihat, tetapi tidak ada siapa tahu di sebalik baju pesakit ada tiub atau peralatan perubatan yang dipakai dan perlu menjalani rawatan setiap hari,” katanya.
The post Luaran sihat, di sebalik baju ada tiub appeared first on Kosmo Digital.
