Auto Added by WPeMatico

![]()
JASIN – Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah van kilang ketika dipercayai melintas jalan di Jalan Kesang Pajak di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa yang berusia 69 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah van kilang dipandu lelaki berusia 25 tahun dalam perjalanan dari arah Kesang menghala ke Batu Berendam.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu van dipercayai tidak menyedari kehadiran mangsa yang sedang melintas jalan dari kanan ke kiri dalam keadaan jalan masih gelap sebelum melanggarnya.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik, namun suasana masih gelap kerana berlaku pada awal pagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk dibedah siasat dan van yang terlibat turut ditahan bagi tujuan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai sebahagian daripada siasatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd. Latfi di talian 011-11127533 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Warga emas maut dirempuh van kilang appeared first on Kosmo Digital.
