Auto Added by WPeMatico

![]()
PEKAN – Pemandu trak pikap yang terlibat dalam kejadian kemalangan maut mengorbankan tiga mangsa termasuk seorang doktor dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) didakwa di Mahkamah Majistret Pekan di sini hari ini.
Tertuduh Syed Muhammad Izzat Aiman Syed Ahmad,31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh yang memandu sebuah trak pikap jenis Isuzu Dmax kira-kira pukul 5.30 petang pada 19 Jun lalu di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat didakwa memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33; Dhea Sofia Mohamad Zekry Zuhairy,2 dan Azaharuddin Mohd Ali,46.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih daripada RM50,0000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khamisah Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak.
Dalam prosiding, Khamisah meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan lesen tertuduh digantung sehingga perbicaraan kes selesai.
Bagaimanapun Muhamad Izwan meminta agar wang jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan menanggung seorang isteri yang sedang mengandung tiga bulan.
Sze Mun kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai serta tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Muadzam Shah setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 18 September depan bagi sebutan semula kes termasuk serahan dokumen.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan tiga maut termasuk seorang doktor di Hospital Segamat dan anaknya dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat di sini.
Mangsa yang maut dalam kemalangan itu ialah pemandu Honda Civic Doktor Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan dan anaknya Dhea Sofia Mohamad Zekry Zuhairy,2, yang berada di tempat duduk belakang serta pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard yang juga pegawai LHDN iaitu Azaharuddin Mohd Ali,46.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati trak pikap yang bergerak dari arah Kuantan menghala ke Muadzam Shah telah cuba memotong lori dan telah melanggar lopak air lalu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu trak pikap mengaku tidak bersalah, kes tiga maut termasuk doktor appeared first on Kosmo Digital.
