Auto Added by WPeMatico

![]()
PEKAN – Polis tidak menolak kemungkinan akan menjalankan siasatan mengikut kanun jenayah terhadap pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 43.2 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah Karak dekat Bentong, Ahad lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, perkara itu sedang diteliti memandangkan pemandu terbabit didapati positif dadah ketika kemalangan berlaku sehingga mengakibatkan kehilangan empat nyawa termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun.
Menurutnya, siasatan ketika ini dijalankan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian, namun polis akan meneliti keperluan untuk membuka siasatan di bawah kesalahan lain.
“Kita masih melengkapkan siasatan. Jika ada keperluan untuk siasatan di bawah jenayah, kita akan jalankan siasatan tersebut juga.
“Ini kerana kemalangan maut yang berlaku itu melibatkan pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah ketika berada di jalan raya sehingga memudaratkan pengguna lain,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu treler berusia 40 tahun itu yang sebelum ini direman selama seminggu telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala kertas siasatan sedang disiapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Menurutnya, suspek turut mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau termasuk saman trafik serta kes berkaitan dadah.
Pada 14 Jun lalu, A. Halim Hasoon, 55, isterinya Rozita Buang, 58, anak perempuan mereka Norbahyah A. Halim, 26, dan cucu berusia setahun, Nayla Afya Aizat maut selepas kereta Honda City yang dinaiki mereka dihempap sebuah treler membawa muatan habuk kayu di Kilometer 43.2 LPT arah Karak.
The post Polis teliti siasatan jenayah terhadap pemandu treler appeared first on Kosmo Digital.

