
KETIKA ramai anak muda mengejar kerjaya profesional selepas menggenggam segulung ijazah, sebaliknya Nur Shakilah Abd. Kadir, 25, memilih jalan berbeza apabila sanggup meninggalkan bidang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan demi mengangkat seni batik.
Lebih mencabar, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maritim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu terpaksa bermula dari ‘kosong’ apabila memilih untuk menceburi bidang yang langsung tidak pernah dipelajarinya.
Bermula pada 2020, Nur Shakilah bersama kakaknya, Nur Farhana, 31, mula belajar untuk menghasilkan batik sambil membina perniagaan mereka dengan berbekalkan minat terhadap seni warisan berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu bukan kerana peluang kerjaya dalam bidang pengajiannya tidak ada, sebaliknya dia mahu mencuba sesuatu yang diminati sambil memastikan seni batik terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
“Bila tamat belajar, memang ada peluang untuk saya bekerja dalam bidang profesional dengan pendapatan lebih lumayan tetapi saya pilih batik kerana minat.
“Batik ini seni warisan kita. Kalau bukan generasi muda yang sambung dan belajar, siapa lagi yang akan teruskan,” katanya ketika ditemui di bengkel batik miliknya di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Nur Shakilah berkata, perjalanan untuk menguasai kemahiran seni batik bukan mudah kerana dia dan kakaknya bermula tanpa pengetahuan asas mengenai teknik penghasilan seni itu.

Katanya, mereka perlu belajar sambil berniaga, selain berdepan cabaran untuk memastikan produk yang dihasilkan mampu memenuhi kehendak pelanggan.
“Pada awalnya, 10 helai sehari pun susah hendak disiapkan.
“Ada tidak menjadi, ada yang perlu dibuat semula dan kami banyak belajar daripada kesilapan.
“Dalam keadaan masih belajar, kami juga perlu berniaga. Jadi, memang mencabar kerana perlu fikir tentang kualiti, kos dan permintaan pelanggan dalam masa sama,” katanya.
Menurutnya, mereka turut berdepan kesukaran mendapatkan blok batik yang sesuai kerana harganya boleh mencecah ratusan ringgit setiap satu.
Keadaan itu mendorong mereka mempelajari cara menghasilkan blok sendiri menggunakan timah dan kepingan besi, sebelum menghasilkan motif mengikut kreativiti mereka.
“Daripada beli blok, kami belajar buat sendiri. Proses itu pun bukan terus menjadi, namun lama-kelamaan kami semakin mahir.
“Sekarang kami banyak hasilkan motif flora, dan cuba beri sentuhan sendiri supaya batik yang dihasilkan tidak kelihatan sama dengan produk lain,” katanya.
Nur Shakilah turut memaklumkan, pengalaman hampir enam tahun dalam bidang tersebut menyedarkannya bahawa usaha mempertahankan batik bukan sekadar menghasilkan kain untuk dijual.
Sebaliknya dia berkata, ia memerlukan generasi baharu yang berani mempelajari kemahiran batik.
Katanya, dunia batik memerlukan kesabaran tinggi kerana setiap proses dilakukan secara teliti dan mengambil masa lama, selain perlu sentiasa mengikuti perubahan cita rasa pelanggan.
“Batik bukan sesuatu yang boleh kita belajar sehari atau dua hari. Kami sendiri sudah bertahun-tahun masih belajar dan memperbaiki hasil.
“Kadang-kadang, orang nampak kain batik yang cantik sudah siap tetapi tidak nampak proses panjang di belakangnya,” katanya.
Menurutnya, daripada hanya mampu menghasilkan kira-kira 10 helai sehari pada peringkat awal, mereka kini mampu menghasilkan sehingga 100 helai sehari bergantung kepada permintaan.
Malah, produknya kini bukan sahaja mendapat sambutan di Terengganu, malah turut menerima tempahan dari seluruh negara.
Katanya, pencapaian tersebut membuatkan mereka semakin yakin bahawa seni tradisional seperti batik masih mempunyai masa depan sekiranya dapat diketengahkan menerusi pendekatan lebih dekat dengan generasi muda.
“Saya tidak mahu batik dilihat sebagai sesuatu yang hanya sesuai untuk orang ‘lama’.
“Anak muda juga boleh pakai, boleh minat dan dijadikan sebagai satu kerjaya.
“Bagi saya, kita perlu bawa batik ke depan, dan pada masa sama kekalkan identiti serta teknik yang menjadi warisan kita,” katanya.
The post Graduan lupakan kerjaya profesional demi memartabatkan seni batik appeared first on Kosmo Digital.





