Auto Added by WPeMatico

![]()
SEOUL – Enzo Maresca meraih kemenangan pertama sebagai pengurus Manchester City selepas mengemudi pasukan itu menewaskan K League All-Stars 3-1 pada aksi persahabatan di Stadium Piala Dunia Seoul kelmarin.
Walaupun sebahagian besar pemain The Citizens belum berada pada tahap terbaik, namun mereka masih mampu melakar kemenangan menerusi jaringan Rayan Ait-Nouri, Tijjani Reijnders dan Divin Mubama.
Selepas tewas kepada Inter Milan pada perlawanan pertama aksi pramusim minggu lalu, Maresca menyuarakan rasa lega apabila City kembali menemui rentak kemenangan dan beliau menganggap ia sangat penting bagi menaikkan semangat pemainnya.
“Bagi kami, keputusan perlawanan sangat penting biarpun ia hanya aksi persahabatan. Selain itu, saya juga mahu melihat usaha serta kerja keras daripada semua pemain bermain dalam cuaca panas seperti ini.
“Banyak perkara positif yang dapat dilihat sejak kami menjalani latihan pramusim kerana pemain-pemain menunjukkan banyak peningkatan. Mereka juga percaya dengan kemampuan pasukan untuk melaksanakan tugas yang diberi,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menganggap permainan City akan bertambah baik apabila beberapa pemain utama kembali menyertai pasukan selepas mereka diberikan pelepasan untuk berehat kerana membantu negara masing-masing di Piala Dunia 2026.
“Masih ada lapan atau sembilan pemain utama yang belum menyertai pasukan untuk aksi pramusim. Saya yakin dan percaya corak permainan akan menjadi lebih baik apabila mereka kembali bersama kami,” ujar Maresca. – AGENSI
The post EPL: Maresca nikmati kemenangan pertama appeared first on Kosmo Digital.
