Auto Added by WPeMatico

DALAM mencari rezeki atau membina perniagaan, ramai orang cenderung memilih bidang yang diyakini mampu memberi pulangan lumayan dan mendapat sambutan pasaran.
Namun berbeza bagi Zamira Azmin Arifin yang berani mempertaruhkan masa depan dalam bidang yang sering dianggap tidak komersial, malah ada yang menganggapnya sensitif untuk diperkatakan.
Di sebalik persepsi itu, wanita yang merupakan pengasas Kiswah Zainab ini percaya setiap perniagaan yang lahir daripada keikhlasan dan memenuhi keperluan masyarakat pasti ada tempatnya tersendiri.
Berbekalkan keyakinan, pengalaman hidup dan beberapa ujian besar yang mengubah perspektifnya terhadap kehidupan, wanita kelahiran Jeram, Kuala Selangor ini membuktikan bahawa bisnes menyediakan kelengkapan pengurusan jenazah bukan sekadar satu perniagaan, sebaliknya satu bentuk persediaan terakhir yang memberi manfaat kepada umat Islam.
Perjalanan hidup Zamira, 55, juga membuktikan bahawa setiap liku kehidupan yang ditempuhi mempunyai hikmah tersendiri.
Daripada anak kampung yang sangat pemalu, kini dia dikenali sebagai usahawan, penganjur kursus pengurusan jenazah dan penggerak aktiviti kebajikan yang aktif dalam serta luar negara.
Mengimbas zaman kanak-kanaknya, anak keempat daripada lima beradik ini mengakui dia seorang yang sangat pemalu dan boleh disifatkan sebagai introvert.
Bagaimanapun, sifat itu tidak menghalangnya mengejar cita-cita apabila diterima memasuki Asrama Yayasan Selangor pada usia 13 tahun dan bersekolah di Sekolah Menengah (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor.
Minatnya terhadap bidang perniagaan dan perakaunan membawanya melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum menyambung pengajian bidang perakaunan di Kingston University, London, United Kingdom pada tahun 1995.
“Sekembalinya ke tanah air, saya membina kerjaya dalam sektor swasta selama 15 tahun sebelum meneruskan perkhidmatan di sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor.
“Sungguhpun begitu, jauh di sudut hati, minat terhadap perniagaan tidak pernah padam dalam jiwa saya,” katanya kepada K-Wanita.

Menurut ibu lima cahaya mata ini, pada tahun 2013, dia membuat keputusan besar meninggalkan kerjaya tetap demi mengejar impian sebagai usahawan sepenuh masa.
Perjalanan perniagaannya bermula dengan membuka beberapa butik Muslimah di Negeri Sembilan dan Selangor.
Namun, perjalanan ke Jakarta, Indonesia menjadi titik perubahan yang tidak pernah disangka-sangka.
Ketika mengikuti rombongan golongan Muslimat dan menghadiri pengisian agama di sebuah musolla, Zamira mengakui dirinya tidak mampu menahan air mata.
“Entah kenapa saya sebak dan menangis tanpa henti.
“Pengalaman itu benar-benar menyentuh hati dan mengubah cara saya melihat kehidupan,” ujarnya sebak.
Sekembalinya ke Malaysia, dia menukar konsep perniagaan kepada butik haji dan umrah yang menawarkan kelengkapan ibadah dalam bentuk set lengkap atau everything in a box.
Tidak lama kemudian, sekali lagi hidupnya diuji apabila doktor mengesahkan dia menghidap satu penyakit kritikal dan memaklumkan jangka hayatnya mungkin hanya tinggal beberapa tahun.
Berita itu menjadi detik paling besar mengubah hala tuju hidup dan mendorongnya menghasilkan kit pengurusan jenazah lengkap di bawah jenama Kiswah Zainab sekali gus melengkapkan rangkaian produk keperluan umat Islam yang ditawarkan syarikatnya.
Menurutnya, ramai beranggapan urusan pengurusan jenazah adalah tanggungjawab pihak masjid semata-mata.
Hakikatnya, dia percaya setiap keluarga juga perlu membuat persediaan lebih awal kerana kematian boleh berlaku pada bila-bila masa.

Ibu tunggal yang juga pencinta kucing ini melihat satu kekurangan dalam sistem sedia ada apabila pengurus jenazah terpaksa mendapatkan setiap kelengkapan daripada pembekal yang berbeza.
Di Kiswah Zainab, Zamira menghimpunkan semua keperluan pengurusan jenazah di dalam satu kotak lengkap yang memudahkan urusan ketika berdepan situasi kecemasan.
Semua produk yang dihasilkan menitikberatkan aspek pematuhan syariah.
Mengimbas ketika pandemik Covid-19 membadai, menurut Zamira, sebelum itu Kiswah Zainab turut menerima tempahan daripada persatuan-persatuan Islam di luar negara.
“Penularan wabak menyebabkan kira-kira 500 set yang telah disediakan untuk dieksport tidak dapat dihantar.
“Apa yang pada awalnya saya lihat sebagai satu kerugian akhirnya menjadi hikmah apabila semua set tersebut diagihkan kepada hospital-hospital dalam negara.
“Sebahagiannya digunakan sebagai cadar pesakit Covid 19 sebelum dijadikan kain kafan apabila mereka meninggal dunia.
“Peristiwa itu sekali lagi membuka mata saya bahawa permintaan dalam negara sebenarnya sangat besar,” katanya.
Ditanya kenapa memilih segmen perniagaan tersebut, Zamira mengakui dan tidak dinafikan memperkenalkan produk berkaitan kematian bukan sesuatu yang mudah. Pada peringkat awal, ada pihak menyangka dia cuba mengambil kesempatan dengan menjadikan kematian sebagai sumber keuntungan.
Namun, persepsi itu berubah sedikit demi sedikit apabila semakin banyak masjid menggunakan kit Kiswah Zainab dan mengakui ia banyak memudahkan urusan kifayah.
Menurutnya, kos menyediakan kelengkapan secara berasingan sebenarnya tidak jauh berbeza dengan harga satu set lengkap yang ditawarkan syarikatnya.
Malah jelasnya, menyimpan kelengkapan jenazah merupakan amalan yang digalakkan kerana ia membantu mempercepat urusan apabila berlaku kematian.
Selain hasilkan produk, Zamira turut aktif menganjurkan pelbagai siri kursus pengurusan jenazah di seluruh negara.
Keistimewaan kursus itu bukan sekadar teori dan latihan amali, malah peserta turut mengikuti sesi sentuhan hati yang mengingatkan mereka tentang hakikat kematian dan kepentingan membuat persediaan.
“Ada kursus yang diadakan terus di tanah perkuburan hingga peserta menyaksikan sendiri proses membawa jenazah ke liang lahad serta bacaan talkin.
“Pendekatan itu memberi pengalaman menyeluruh kepada peserta agar mereka lebih yakin menguruskan ahli keluarga sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pengurus jenazah,” katanya.
Dalam masa sama, wanita yang suka mengembara ini juga giat mempromosikan kempen ‘1 Rumah, 1 Set Jenazah’ bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya setiap isi rumah mempunyai kelengkapan asas pengurusan jenazah.
Semangat membantu masyarakat turut diterjemahkan melalui penubuhan Pertubuhan Kiswah Prihatin atau Kiswah Care.
Menurutnya, di awal penubuhan, NGO itu diwujudkan bagi membekalkan kain kafan percuma kepada golongan asnaf yang tidak mempunyai khairat kematian supaya pihak masjid tidak terbeban menanggung kos pengurusan.
Namun apabila turun ke lapangan, Zamira menyedari masyarakat mempunyai pelbagai keperluan lain.
Hari ini, Kiswah Care turut melaksanakan pelbagai program kesihatan termasuk bantuan berkhatan, rawatan pergigian dan bantuan kesihatan kepada golongan memerlukan.
Sepanjang menguruskan NGO, banyak pengalaman yang meninggalkan impak mendalam buat Zamira.
Antara yang paling menyentuh hatinya tatkala melihat anak-anak di pedalaman serta kepulauan Sabah yang tidak memiliki kad pengenalan tetapi tetap gigih mempelajari al-Quran.
“Lebih menyentuh perasaan apabila mereka menggunakan rehal yang diperbuat daripada kayu hanyut.
“Pengalaman ini mendorong Kiswah Care membina Baitul Kiswah dalam tempoh hanya dua bulan bagi memastikan amanah hasil sumbangan orang ramai tetap disampaikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Baitul Kiswah merupakan sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam yang terletak di Kampung Simunul, Semporna, Sabah. Pusat itu dibina khusus untuk membantu anak-anak serta golongan kurang berkemampuan di kawasan sekitar mendapatkan pendidikan asas agama.
“Saya juga tidak dapat melupakan seorang lelaki Islam berusia 53 tahun yang akhirnya dapat berkhatan hasil bantuan Kiswah Care itu selepas sekian lama tidak mampu berbuat demikian kerana kekangan kewangan,” ujarnya.
Meskipun sibuk menguruskan syarikat dan NGO, akui Zamira dia sudah terbiasa mengurus masa sejak kecil dan sentiasa komited terhadap setiap amanah yang dipikul.
Ditanya adakah kesedaran masyarakat mengenai persediaan pengurusan jenazah masih rendah, Zamirah sekali lagi mengakui perkara tersebut.
“Lebih ramai umat Islam perlu menghadiri kursus pengurusan jenazah supaya tidak kekok menguruskan ahli keluarga sendiri apabila tiba saatnya nanti.
“Buatlah persediaan lebih awal kerana kematian boleh datang pada bila-bila masa. Ia tidak akan datang sesaat lebih cepat atau sesaat lebih lambat daripada ketentuan Allah,” pesannya.
Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Zamira berhasrat memperluaskan bisnesnya ke seluruh dunia bagi membekalkan keperluan umat Islam di mana sahaja mereka berada.
Pada masa sama, Zamira akan terus komited memperkukuh usaha kebajikan dengan memastikan setiap amanah dan sumbangan masyarakat disampaikan secara telus kepada golongan yang memerlukan.
The post Zamira ingatkan masyarakat hakikat kematian appeared first on Kosmo Digital.
