
![]()
SINGAPURA – Seorang lelaki warga Malaysia ditahan selepas cuba menyeludup 8.6 kilogram (kg) ganja dan 1.6kg syabu yang disembunyikan di dalam but kereta menuju ke Singapura, lapor laman berita Mothership.
Suspek berusia 22 tahun itu ditahan ketika memasuki Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan kereta bernombor pendaftaran Malaysia.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata, pegawainya mengarahkan kereta dipandu suspek untuk menjalani pemeriksaan sebelum menemui sebuah kotak mengandungi dua bungkusan bahan disyaki dadah.
Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) segera dimaklumkan mengenai penemuan tersebut, manakala pemeriksaan lanjut menemukan lebih banyak dadah di dalam but kereta.
Keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan melebihi S$361,000 (RM1.2 juta) dan boleh menampung bekalan kepada kira-kira 2,132 penagih selama seminggu.
Siasatan lanjut sedang dijalankan, demikian menurut CNB.
Individu yang mengimport atau mengeksport lebih 250 gram methamphetamine atau 500 gram ganja boleh berdepan hukuman mati di Singapura. – AGENSI
The post Rakyat Malaysia dicekup seludup lebih 10kg dadah ke Singapura appeared first on Kosmo Digital.




