Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Perjalanan dari Gombak ke Kuantan Port City kini hanya mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit menerusi tren pemeriksaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Tempoh perjalanan itu direkodkan menerusi Comprehensive Inspection Train yang membawa sekumpulan pengamal media tempatan dan antarabangsa dari Stesen Terminal Bersepadu Gombak ke Stesen Kuantan Port City hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, perjalanan pulang dari Kuantan Port City ke Gombak turut mengambil tempoh sama iaitu satu jam 30 minit.
Perjalanan berkenaan turut melalui Terowong Genting ECRL sepanjang 16.39 kilometer (km), yang merupakan terowong rel terpanjang di Asia Tenggara.
Tambahnya, kemajuan fasa ujian dan pentauliahan ketika ini merupakan perkembangan penting dalam memastikan ECRL mencapai tahap kesiapsiagaan operasi ditetapkan.
“Kami berpuas hati dengan kemajuan fasa pengujian dan pentauliahan ECRL setakat ini.
“Setiap ujian dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh bagi memastikan semua sistem, komponen serta infrastruktur ECRL memenuhi keperluan keselamatan dan teknikal sebelum perkhidmatan kepada orang awam dimulakan,” katanya.
Katanya, keselamatan sentiasa menjadi keutamaan projek berkenaan dan MRL bersama China Communications Construction Company Ltd. akan memastikan setiap peringkat pengujian serta pengesahan teknikal diselesaikan dengan teliti.
Setakat ini, lebih 70 peratus daripada keseluruhan program ujian ECRL telah diselesaikan, manakala ujian sistem semboyan sedang dilaksanakan secara berperingkat dari Kota Bharu menuju Gombak.
Program pengujian sistem semboyan itu dijangka selesai Oktober ini sebelum pelaksanaan Fault Free Run dan operasi percubaan.
Dalam pada itu, kemajuan keseluruhan pembinaan ECRL sudah mencapai 95.41 peratus setakat Ogos lalu, dengan jajaran Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak dijadualkan siap menjelang akhir tahun ini.
Rangkaian ECRL sepanjang 665km akan merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor, dengan perjalanan Kota Bharu-Gombak dijangka hanya mengambil masa empat jam apabila beroperasi kelak berbanding kira-kira tujuh jam menggunakan jalan raya. – KOSMO! ONLINE
The post Gombak-Kuantan cuma 90 minit naik ECRL appeared first on Kosmo Online.
