
![]()
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui tidak kisah ‘downgrade’ status apabila hanya bersaing di peringkat Asia Tenggara selepas misi untuk layak ke saingan Piala Asia 2027 tidak kesampaian.
Cklamovski telah dilantik selaku pengendali skuad kebangsaan pada tahun lalu untuk mengetuai ‘revolusi’ Harimau Malaya dengan agenda utama layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Bagaimanapun, impian tersebut tidak kesampaian apabila skuad negara menamatkan saingan kelayakan Kumpulan F di tangga kedua selain terpalit skandal pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain berdarah warisan.
Kini, Cklamovski percaya tumpuan pasukan perlu dialihkan untuk sasaran seterusnya apabila bakal bersaing dua kejohanan pada Piala ASEAN anjuran AFF pada Julai depan dan Piala ASEAN FIFA pada September nanti.
Cklamovski berkata, skuad kebangsaan masih berada di landasan yang tepat untuk mencipta kejayaan di peringkat serantau selepas melihat komitmen penuh yang dipamerkan sejak 12 bulan lalu.
“Sudah tentu (tiada masalah untuk bersaing di peringkat ASEAN). Kita ada impian untuk lunaskan sasaran jangka pendek ke Piala Asia (tetapi tidak kesampaian).
“Kini, kita ada kejohanan serantau di peringkat Asia Tenggara yang memiliki sejarah tersendiri. Bagi kejohanan anjuran AFF yang akan berlangsung pada Julai, saya rasa mungkin agak sukar kerana kita mungkin tidak dapat kumpulkan pemain terbaik kerana di luar kalendar antarabangsa selain kelab sedang melakukan persiapan pramusim (2026/2027).
“Namun, Piala ASEAN FIFA berbeza yang akan dilangsungkan pada kalendar September dan Oktober depan. Ini adalah peluang untuk menang trofi utama yang memberi makna besar buat Malaysia,” katanya.
FIFA sebelum ini bersetuju memperkenalkan Piala ASEAN melibatkan 11 negara Asia Tenggara sebagai suntikan semangat baru dan simbol penyatuan negara-negara serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, tahun lalu.
The post Cklamovski masih belum hilang keinginan appeared first on Kosmo Digital.








