Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket dipercayai menawarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan secara tidak sah menerusi sistem pengurusan pekerja asing JIM yang diceroboh dengan penahanan lapan warga Myanmar dalam operasi khas di Bandar Mahkota Cheras, Sabtu lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula kira-kira pukul 3.50 petang itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurut beliau, operasi berkenaan merupakan susulan kepada tindakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Crack yang dijalankan pada 28 Julai lalu.
“Hasil serbuan di sebuah premis kediaman, pasukan operasi berjaya menahan seorang wanita warga Myanmar yang dipercayai bertindak sebagai ‘ejen haram’.
“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai kaitan dengan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai ‘dalang utama’ sindiket dan telah ditahan SPRM dalam Op Crack bersama JIM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, turut ditahan ialah seorang lelaki dan enam wanita warga Myanmar berusia antara 29 hingga 56 tahun yang dipercayai sedang menunggu untuk dibekalkan kepada majikan.
Katanya, semakan mendapati wanita yang bertindak sebagai ejen haram itu memiliki PLKS sektor perkhidmatan, manakala empat wanita didapati tinggal lebih masa.
“Seorang lelaki dan dua lagi wanita pula tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.
Zakaria berkata, pasukan operasi turut menyita 16 pasport Myanmar, salinan PLKS yang disyaki palsu, dokumen berkaitan pembekalan pekerja serta sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang dipercayai digunakan sindiket.
“Modus operandi sindiket adalah bertindak sebagai ‘ejen haram’ dengan menawarkan perkhidmatan mendapatkan PLKS yang dipercayai dikeluarkan secara tidak sah melalui sistem pengurusan pekerja asing JIM yang telah diceroboh.
“Sindiket ini dipercayai menawarkan PLKS kepada warga asing di sekitar Lembah Klang yang tidak memiliki pas sah atau telah tinggal lebih masa sebelum membekalkan mereka kepada majikan yang memerlukan tenaga kerja dengan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja,” katanya.
Menurut beliau, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini.
Katanya, wanita yang bertindak sebagai ejen haram disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
“Empat wanita warga Myanmar pula disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lelaki dan dua wanita lagi disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.
“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Beliau berkata, JIM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang negara. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Ejen haram’ jual PLKS palsu tumpas, 8 warga asing ditahan appeared first on Kosmo Digital.
