Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Seorang wanita kini hidup dalam ketakutan selepas dilabel sebagai penipu dan pelacur oleh along susulan kegagalannya membayar hutang pinjaman yang dibuat Januari tahun lalu.
Lebih meresahkan wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Goh, 46, itu apabila along bertindak membaling ayam ke arah rumah keluarganya sebagai amaran.
Pemandu e-hailing itu berkata, dia membuat pinjaman sebanyak dua kali dengan along masing-masing sebanyak RM12,800 dan 3,500 selepas duit simpanan habis ekoran terjerat dengan ‘love scam’.
Katanya, pinjaman pertama pada Julai 2024, namun sudah diselesaikan sebelum membuat pinjaman kedua pada Januari tahun lalu.
“Pinjaman kali kedua sebanyak RM 3,500 namun saya dipaksa membayar RM 6,200 setakat bulan November tahun lalu. Malah along itu juga mengarahkan saya membayar RM1,000 beserta faedah dan caj tambahan akan dikenakan sekiranya gagal,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Tambah Goh, lebih menakutkan apabila along berkenaan turut menganggu abangnya selain mengugut untuk membakar kedai lelaki itu di Klang.
“Abang saya memberitahu saya bahawa along itu turut mengugut untuk menyebarkan gambar abang di media sosial,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam (MCA), Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya pernah membantu Goh melangsaikan hutang terdahulu.
“Lebih menyedihkan, Goh dan jirannya turut menerima surat dipercayai dihantar oleh along yang menabur fitnah dengan melabelkan mangsa sebagai penipu dan pelacur di Klang, Selangor.
“Along itu turut memberi amaran kepada keluarga Goh dengan mencampakkan kepala ayam di rumah ibunya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
The post Pemandu e-hailing terjerat ’love scam’ jadi mangsa along appeared first on Kosmo Digital.