Auto Added by WPeMatico

![]()
SEREMBAN – Taktik licik sindiket penyeludupan migran yang menjadikan rumah teres sebagai ‘hotel transit’ terbongkar selepaa diserbu pihak berkuasa di Taman Bukit Kepayang, di sini, semalam.
Serbuan pada pukul 11.30 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras hasil risikan terhadap aktiviti penyeludupan migran yang aktif membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan laluan haram.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, rumah tersebut dijadikan tempat penampungan sementara menunggu PATI diseludup keluar.
“Hasil serbuan, seramai 20 lelaki dan dua wanita warga Indonesia berusia 19 hingga 46 tahun ditahan. Tangkapan melibatkan tekong darat, penjaga rumah penampungan dan migran yang cuba keluar dari negara ini melalui jalan tidak diwartakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, polis merampas dua buah kereta jenis Volkswagen Tiguan dan Honda City, tujuh buah telefon bimbit, kunci rumah dan alat kawalan jauh yang dipercayai digunakan bagi melancarkan kegiatan sindiket terbabit.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket menyewa rumah dengan kadar RM800 sebulan bagi mengaburi mata pihak berkuasa, dan kesemua suspek direman 28 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. – KOSMO! ONLINE
The post Polis serbu rumah ‘simpan’ 22 PATI di Seremban appeared first on Kosmo Digital.