Auto Added by WPeMatico

![]()
LUMUT – Seramai 384 individu telah ditahan polis di daerah Manjung sepanjang Januari hingga bulan ini melibatkan 13 operasi dan serbuan berkaitan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dijalankan secara bersepadu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Mohammad Azlin Sadari berkata, kesemua tangkapan tersebut merupakan hasil penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Katanya, hasil tindakan bersepadu itu, ia telah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan migran dan pemerdagangan orang di daerah Manjung pada tahun ini.
“Dalam 11 operasi dan serbuan yang melibatkan aktiviti penyeludupan migran, seramai 384 orang telah ditangkap, terdiri daripada 368 orang warga indonesia, sembilan kanak–kanak Indonesia dan dua warga bangladesh.
“Turut ditahan termasuklah lima orang warga tempatan kerana terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Manjung di sini hari ini.
Mohammad Azlin berkata, sebanyak 11 kertas siasatan telah dibuka dan seramai 320 tangkapan telah berjaya dituduh dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang
dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan juga pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, beliau berkata, bagi dua operasi membanteras aktiviti pemerdagangan orang, jumlah tangkapan dan mangsa yang diselamatkan adalah tiga tangkapan warga tempatan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti tersebut.
Manakala mangsa yang diselamatkan pula, katanya, terdiri daripada dua kanak-kanak warga Myanmar dan dua lelaki warga India yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.
“Selain itu, dalam operasi berkenaan seramai 13 migran warga Myanmar turut ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau permit masuk yang sah. Ketiga-tiga suspek telah dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata, alam salah satu operasi yang dijalankan pada 18 Ogos lalu, pihak polis turut berjaya menumpaskan satu cubaan penyeludupan dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 5.8 kilogram dianggarkan bernilai RM185,600.
“Dadah tersebut dipercayai cuba diseludup keluar dari Malaysia oleh seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan antara migran yang ditangkap dalam operasi berkenaan.
“Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 secara tentatif pada 28 Ogos 2026 di Mahkamah Majistret Pantai Remis,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 384 individu ditahan berkaitan aktiviti penyeludupan PATI di Manjung appeared first on Kosmo Online.
