Auto Added by WPeMatico

![]()
PADANG BESAR – Pintu sempadan negara di Perlis dan Kedah mengalami kesesakan apabila orang ramai berpusu-pusu ke Thailand sempena Hari Pekerja serta cuti hujung minggu.
Kenderaan dilaporkan beratur panjang menghala ke negara jiran menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian di sini serta Bukit Kayu Hitam sejak awal pagi tadi.
Menurut penduduk Kangar, Norashikin Idros, 41, kenderaan beratur panjang sejauh kira-kira 500 meter hingga ke bangunan kompleks untuk pemeriksaan di Wang Kelian.
“Saya bersama suami, tiga anak serta bapa mahu ke Pak Bara untuk makan dan bersiar-siar sempena cuti Hari Pekerja.
“Kami baru sahaja tiba di Wang Kelian kira-kira pukul 3.45 petang dan masih belum melepasi pemeriksaan. Perancangan asal mahu pulang malam ini, namun kami tetap bawa pakaian sekiranya tidak sempat pulang memandangkan aliran trafik agak sesak,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pergerakan kenderaan menuju ke kompleks pemeriksaan sangat perlahan.
“Ini situasi biasa setiap kali cuti panjang, memang kena bersabar,” ujarnya.
Sementara itu, beberapa gambar kesesakan di pintu sempadan Padang Besar kira-kira pukul 12 tengah hari tadi turut dikongsikan menerusi akaun Facebook Princeofdannok.
“Pengguna jalan raya dijangka berdepan kelewatan antara 90 hingga 120 minit bagi proses pemeriksaan imigresen dan kastam. Selamat bercuti dan nikmati hujung minggu panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam memaklumkan aliran trafik menuju ke Thailand sesak sejak awal pagi.
“Kesesakan melibatkan kenderaan persendirian dan bas penumpang. Pelancong dinasihatkan mengatur perjalanan lebih awal, merancang masa yang sesuai serta memastikan dokumen perjalanan lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Ramai mahu masuk Thai, ICQS sesak teruk appeared first on Kosmo Digital.

