Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Penyanyi Nubhan mengakui menjaga orang tua sakit bukanlah tugas yang mudah sebaliknya memerlukan ketabahan yang tinggi.
Menurut Nubhan atau nama lengkapnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40, situasi sedemikian bukanlah bermaksud seseorang anak itu tidak ikhlas, melainkan hakikat sebagai manusia biasa yang mempunyai had keupayaan fizikal dan emosi.
“Betul orang cakap, bukan mudah nak jaga orang tua yang sakit. Ada masa kita kuat, penat dan cuma mampu menangis saja.
“Bukan sebab tak ikhlas atau tak sayang tapi kita juga manusia ada batas tenaga serta emosi,” katanya dalam sebuah video.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Kekasih Untukku ibunya, Badariah Omar yang tidak sihat kini lebih sensitif memberi cabaran buat ahli keluarga mahupun pembantu rumah yang diamanahkan untuk menjaganya.
“Kasihan pembantu rumah yang jaga mak. Mak bila dia tak sihat ini memang agak emosi dan ragam sikit.
“Sampai menangis pembantu rumah yang jaga mak, kami adik-beradik pun hadap benda yang sama juga.
“Tabik dekat kalian yang tengah jaga orang tua sakit. Memang mencabar mental dan fizikal, semoga kami semua kuat serta tabah,” jelasnya.
Dalam masa sama, Nubhan menitipkan kata-kata semangat buat mereka di luar sana yang berdepan ujian sama dalam menggalas tanggungjawab menjaga ibu bapa yang sakit.
“Untuk semua yang jaga mak ayah, yang tak cukup tidur, penat fizikal dan mental, kadang-kadang hampir hilang sabar, sabarlah.
“Semoga Allah kuatkan hati kita. Mungkin orang tak nampak pengorbanan itu.
“Tapi Allah nampak setiap satunya. Hari ini mungkin terasa berat tapi mudah-mudahan setiap lelah itu menjadi jalan kita menuju syurga,” ujarnya.
Sebelum ini, Nubhan berkongsi keadaan terkini ibunya, Mak Jenny, yang sedang mengalami masalah kesihatan selepas terjatuh yang mengakibatkan patah tulang pinggul serta kaki sejak Jun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Bukan mudah jaga orang tua sakit, cuma mampu menangis’ appeared first on Kosmo Digital.
