
![]()
KUALA LUMPUR: Pelakon, Elisya Sandha, menyokong tindakan kakaknya yang juga pelakon, Fasha Sandha, yang membuat teguran terbuka di media sosial berhubung isu pelakon yang sering datang lewat ke set penggambaran.
Elisya atau Nur Elisya Sandha Hassan, 27, berkata, tindakan daripada kakaknya itu berkemungkinan dibuat selepas teguran secara peribadi sebelum ini tidak mengubah sikap pelakon terbabit.
“Saya rasa apa yang kakak saya buat itu adalah benda yang betul sebab kita perlu hormat masa orang lain. Kita tidak boleh sesuka hati datang jam 10 pagi kalau jadual panggilan pengganbaran ‘call time’ pukul 8 pagi. Itu sangat kurang ajar.
“Apa yang saya belajar dengan kakak saya selama ini ialah kita perlu sentiasa menjaga jadual panggilan penggambaran. Tidak kisah kalau ada anak 10 atau 18 orang sekalipun, jadual panggilan tetap perlu jaga,” katanya.
Elisya berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu terbitan iQIYI, Madu Atau Racun, di A Quite Place, di sini, semalam.
Mengulas mengenai pengalamannya sendiri, Elisya mengakui pernah berdepan situasi sama berulang kali, namun memilih untuk menegur secara peribadi berbanding memuat naik di media sosial.
“Saya pernah lalui benda itu banyak kali, cuma saya rasa suara saya belum cukup kuat untuk bersuara di media sosial. Jadi, kalau orang itu selalu sangat lambat, saya akan pergi kepadanya secara peribadi dan bertanya kenapa dia lambat.
“Mereka akan jelaskan masalah yang dihadapi seperti ada urusan di rumah dan saya cuba untuk faham serta berbincang. Namun, untuk kes kakak saya, dia keluarkan ke media sosial kerana mungkin dia sudah tegur tetapi tidak menjadi.
“Saya juga ada karakter seperti kakak saya yang akan mengamuk dan bising di set kalau terpaksa menunggu lama. Tetapi orang faham kenapa saya begitu kerana saya menghormati masa mereka, jadi orang pun menghormati masa saya.
“Apabila ada artis lambat, ia akan kacau emosi pelakon lain kerana masa penggambaran yang sepatutnya habis jam 6 pagi terlajak hingga jam 10 pagi pula disebabkan pelakon itu lambat,” katanya.
Meskipun terdapat pelakon yang menunjukkan sikap acuh tak acuh apabila ditegur, Elisya tetap bertegas untuk menyuarakan perkara yang betul demi kepentingan bersama.
“Ada setengah artis selepas ditegur dia berlagak seperti ‘kau siapa nak tegur aku’, tetapi ada juga artis yang menjelaskan situasi mereka dan saya cuba faham. Yang penting, saya sudah luahkan kepada mereka bahawa tindakan lambat datang ke set ini adalah salah.
“Kita kena hormati masa semua orang termasuk pengarah dan kru, bukan pelakon sahaja. Kasihan kepada kru yang sebenarnya paling tidak cukup tidur dan masih kena mengemas barang selepas penggambaran selesai,” katanya.
Sebelum ini, Fasha sekali lagi meluahkan rasa kecewa terhadap seorang pelakon yang didakwa masih gagal menepati masa di set penggambaran sehingga mengganggu kelancaran jadual kerja individu lain.
Menurut Fasha, sikap tidak bertanggungjawab individu tersebut masih berterusan sejak hari pertama menjalani penggambaran sehingga hari ini.
The post Saya sokong Fasha Sandha, dia tegur secara terbuka mungkin bersebab – Elisya Sandha appeared first on Utusan Malaysia.


