Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Mengakui memahami dilemma ditanggung kakak yang juga pelakon Fasha Sandha, Elisya Sandha juga pernah banyak kali berhadapan dengan individu yang mempunyai masalah disiplin sering lewat ke set penggambaran.
Menurut Elisya atau nama lengkapnya Nur Elisya Sandha Hassan, 27, dia pernah ‘naik hantu’ apabila disidai terlalu lama di lokasi penggambaran.
“Saya dah lalui situasi ini banyak kali. Cuma saya rasa suara saya belum cukup kuat untuk suarakan dalam media sosial.
“Saya pernah mengamuk di set penggambaran gara-gara terpaksa menunggu lama untuk pelakon datang. Akhirnya pelakon tu tak datang pun dan kita kena ubah buat babak lain.
“Saya terpaksa bersuara sebab saya dah tunggu lama dan sudah bersiap sepenuhnya.
“Tetapi mereka faham kenapa saya bertindak sebegitu. Sebab saya sangat menghormati waktu orang, dan saya mengharapkan orang pun hormati masa saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama terbaru iQIYI, Madu Atau Racun, di sini, semalam.
Elisya mengulas mengenai isu masalah disiplin pelakon selepas Fasha meluahkan rasa kesal terhadap seorang pelakon yang berulang kali datang lambat ke set penggambaran.
Tambah Elisya, dia faham tindakan kakaknya berkongsi situasi tersebut dalam media sosial kerana aktres itu seorang yang sangat menitikberatkan disiplin dalam kerja.
“Apa yang kakak saya buat adalah perkara yang betul. Kalau ‘call time’ (waktu mula bekerja) pukul 8 janganlah datang pukul 10. Itu sangat kurang ajar.
“Apa yang saya belajar dengan kakak saya kita kena sentiasa jaga ‘call time’. Tak kisahlah kalau ada anak 10, 18, ‘call time’ kena jaga,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Tak kisahlah ada anak 10 pun, ‘call time’ kena jaga – Elisya Sandha appeared first on Kosmo Digital.
