Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – “Seminggu sekolah, tiga hari murid sama tidak hadir, alasan bangun lewat.”
Itu antara luahan seorang guru di Threads sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial selepas mendedahkan realiti dihadapi pihak sekolah apabila terdapat murid yang kerap tidak hadir hanya kerana gagal bangun pada waktu sepatutnya.
Menurut guru berkenaan, masalah tersebut bukan berlaku sekali-sekala, sebaliknya terdapat murid yang sama dilaporkan tidak hadir antara dua hingga tiga hari pada setiap minggu.
Lebih mengecewakan, katanya, alasan ketidakhadiran yang diberikan ibu bapa murid berkenaan kepada pihak sekolah adalah kerana anaknya bangun lewat.
Perkongsian itu kemudian mengundang pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan sejauh mana tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan anak-anak hadir ke sekolah secara konsisten.
“Kalau sekali dua mungkin boleh faham, tetapi kalau setiap minggu berlaku, libat murid sama, sudah tentu boleh jejaskan pembelajaran murid terbabit,” kata Azura.
Dalam pada itu, sebahagian pengguna media sosial melihat isu tersebut tidak wajar diletakkan sepenuhnya di bahu murid kerana kanak-kanak masih memerlukan pemantauan serta bimbingan ibu bapa dalam membentuk disiplin.
“Ibu bapa kena main peranan buat jadual anak supaya tidur dan bangun ikut waktu ditetapkan. Ajar anak supaya tahu hadir ke sekolah itu penting. Ibu bapa jangan terlalu manjakan anak, anak tak mahu bangun, ibu bapa buat tak tahu, tidak bertegas,” tegur @Mel9o.
“Anak lewat atau ibu bapa yang lajak tidur? Tapi memang wujud ya ibu bapa yang tak cakna soal sekolah anak-anak. Memang realiti berlaku,” perli Hussin. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Seminggu sekolah, 3 hari anak dia ponteng alasan bangun lewat’ appeared first on Kosmo Digital.


