Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Pencipta kandungan, Azrul Affandi Sobry dijadual hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul esok bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis berkaitan video podcast.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, laporan polis itu dibuat oleh pengerusi Kuil Marathadi Madurai Veeran KL bagi menafikan tuduhan berkenaan.
Beliau berkata, pada 18 Oktober lalu kira-kira pukul 3.30 petang, pengadu menerima pautan video podcast daripada rakannya ketika berada di rumah.
Menurutnya, pengadu yang juga pengerusi kuil di Jalan Sentul Manis, Kuala Lumpur, berhampiran IPD Sentul, kemudian hadir membuat laporan polis berhubung perkara itu.
“Selepas mendapat OTI daripada Timbalan Pendakwa Raya, bagi tujuan melengkapkan siasatan pihak polis telah memanggil beberapa orang saksi termasuk Azrul Affandi Sobry ke IPD Sentul untuk dirakam percakapan lebih kurang 12 tengah hari esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan dakwaan kegiatan pengedaran dadah berhampiran IPD Sentul yang dibangkitkan menerusi sebuah podcast tular merupakan kejadian lama yang berlaku pada 12 Julai 2016.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilapor berkata, hasil semakan mendapati sebanyak tiga laporan polis telah diterima berhubung kejadian berkenaan ketika itu.
Menurutnya, kandungan podcast tersebut sebenarnya merupakan penceritaan semula pengalaman seorang tetamu yang pernah terlibat dalam bidang kewartawanan kira-kira 10 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Azrul Affandi beri keterangan esok isu video podcast appeared first on Kosmo Online.
